Beku perolehan: ATM akan kemuka rayuan untuk perbelanjaan operasi

2 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengemukakan rayuan kepada kerajaan bagi membolehkan perbelanjaan operasi dilepaskan susulan pembekuan sementara perolehan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, pembekuan tersebut memberi kesan langsung kepada operasi harian ATM, khususnya pelaksanaan tugasan di lapangan.

Katanya, bagaimanapun pembekuan itu tidak menganggu pelan pembangunan (development plan) memandangkan ia boleh ditangguhkan dan dimitigasi kemudian.

“Sebagai contoh, perbelanjaan operasi ini melibatkan perkara rutin seperti makan anggota, bahan api, pergerakan pasukan dan pengangkutan udara.

“Jika perbelanjaan ini dibekukan, kita tidak dapat melaksanakan operasi kerana semua itu perlu dibayar,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Menurut beliau, Kementerian Pertahanan dan Ketua Setiausaha Kementerian memaklumkan bahawa isu berkenaan kini berada di peringkat akhir dan akan dibentangkan dalam masa terdekat.

“Dalam tempoh seminggu ini, kita akan mengemukakan rayuan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang juga Menteri Kewangan.

“Ini supaya sekurang-kurangnya perbelanjaan operasi dilepaskan untuk kita teruskan tugas. Jika tidak, kita khuatiri bahawa kesiapsiagaan ATM akan menurun,” tegasnya.

Mengulas jumlah perbelanjaan operasi, beliau memaklumkan bahawa anggaran bagi Tentera Darat adalah sekitar RM2 bilion, manakala Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia masing-masing sekitar RM1.5 bilion.

“Saya percaya dengan keprihatinan Perdana Menteri dan justifikasi yang kita kemukakan, insya-Allah perbelanjaan operasi ini akan dilepaskan,” katanya.

16 Januari lalu, Anwar dilaporkan berkata, semua keputusan perolehan membabitkan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan yang terkait dengan isu rasuah dibekukan sementara.

Menurutnya, pembekuan itu dilaksanakan oleh kerajaan sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |