‘Satu amanah besar’ – Siti Nurhaliza kini Profesor Adjung UiTM

2 hours ago 1

PETALING JAYA – Terus melakar kejayaan, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dilantik sebagai Profesor Adjung bagi Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, menganggap pengiktirafan terbabit sebagai tanggungjawab untuk berkongsi ilmu dan pengalaman sedia ada sebagai anak seni dan juga usahawan.

“Saya rasa begitu rendah diri kerana saya bukanlah ahli perniagaan yang masyhur.

“Alhamdulillah sebagai seorang selebriti yang bergiat seni dan perniagaan saya diberikan banyak kelebihan untuk menjadi usahawan berjaya.

“Saya amat terharu dengan penghormatan yang diberikan kerana ini bukan satu pengiktirafan dalam bidang seni dan keusahawanan tapi satu amanah besar yang akan saya kongsi pengalaman ilmu sepanjang berada dalam industri,” katanya.

Pada masa sama, pelantun lagu Menamakanmu Cinta itu berharap penglibatannya dalam UiTM dapat membantu melahirkan lebih ramai pelajar menjadi ahli perniagaan yang terbaik.

“Terbukanya hati untuk menerima selepas menilai lebih kepada sumbangan anak bangsa.

“Saya harap dengan penglibatan saya ini dapat mengajak lebih ramai pelajar UiTM menjadi usahawan berjaya,” ujarnya lagi.

Pihak UiTM memaklumkan pengiktirafan tersebut diberikan selepas Siti berjaya mencipta kejayaan gabungan antara kreativiti, integriti dan daya inovasi dalam mengangkat jenama tempatan ke peringkat antarabangsa.

Tambahnya, Siti akan memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar dan warga akademik melalui perkongsian pengalaman sebenar dunia keusahawan termasuk sesi ‘masterclass’.

Siti menerima watikah pelantikan dalam satu majlis yang berlangsung di UiTM kampus Shah Alam hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan Dekan FPP Profesor, Ts Dr. Shafinar Ismail. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |