KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan segala proses pengosongan tapak dan merobohkan struktur di Desa Pandan, di sini, semalam, dilaksanakan secara telus dan teratur mengikut prosedur sedia ada.
Operasi tersebut dijalankan susulan pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf jalan 2/76, Desa Pandan.
Menurut DBKL, ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan DBKL untuk mempertingkatkan kemudahan infrastruktur dan kelancaran aliran trafik.
Katanya, DBKL telah menyelaraskan proses pengosongan peniaga yang menjalankan perniagaan di kawasan yang terlibat.
“Proses ini dilaksanakan melalui pendekatan libat urus dan penyampaian maklumat rasmi kepada semua pihak yang terlibat termasuklah
persatuan peniaga.
“Sebagai tindakan susulan, lesen perniagaan bagi sembilan tapak telah dibatalkan bermula 10 Januari lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
DBKL berkata, semua peniaga kemudian dimaklumkan secara rasmi pada 15 Januari bagi mengosongkan tapak dalam tempoh yang ditetapkan.
Jelasnya, DBKL telah mengeluarkan notis pengosongan tapak pada 4 Julai lalu sebagai langkah akhir sebelum tindakan perobohan dijalankan.
“Kerja-kerja perobohan sepatutnya dilaksanakan pada 15 Julai 2025 walau bagaimanapun kerja-kerja tersebut ditangguhkan ekoran kekecohan yang berlaku di tapak,” ujarnya.
Terdahulu, berlaku kekecohan di kawasan terbabit apabila seorang lelaki bertindak agresif dengan melibas parang ke arah anggota penguat kuasa DBKL.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.17 pagi itu, lelaki berusia 43 tahun itu dikatakan datang secara tiba-tiba sambil memegang sebilah parang panjang sebelum bertindak membuat provokasi.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail dilaporkan berkata, pihaknya telah merampas parang tersebut dan menahan lelaki terbabit untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE