MUAR – Polis telah merakam keterangan isteri dan adik kepada Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang dilaporkan hilang di Sungai Tui, Bukit Kepong di sini Isnin lalu bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, keterangan daripada ahli keluarga itu dirakam semalam bagj melengkapkan siasatan.
“Adik mangsa merupakan individu terakhir yang berjumpa dengan orang hilang pada kira-kira pukul 3.30 petang pada hari kejadian di kawasan Bukit Kepong.
“Mereka telah berkonvoi dari Johor Bahru ke Muar sebelum berjumpa sebentar di kawasan Bukit Kepong sebelum masing-masing beredar ke destinasi masing-masing,”katanya pada sidang akhbar di lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Tui di sini hari ini.
Raiz Mukhliz berkata, kehilangan Tengku Nizaruddin atau dikenali sebagai Ija Nazaruddin hanya disedari selepas polis dimaklumkan mengenai penemuan sebuah kereta Perodua Axia berwarna putih yang separa timbul di Sungai Tui pada petang semalam.
“Pasukan bomba dan penyelamat yang tiba di lokasi kemudiannya telah menjalankan selaman awal, namun tiada mangsa ditemui di dalam kenderaan. Kereta berjaya dinaikkan pada jam lebih kurang 7.30 malam pada semalam.
“Hasil pemeriksaan hanya menemui sepasang selipar dan topi dipercayai milik mangsa, manakala telefon bimbitnya masih belum dijumpai.
“Rekod juga menunjukkan talian telefon mangsa sudah tidak aktif sejak hari mangsa dikatakan hilang,”katanya.
Menurut Raiz Mukhliz, operasi mencari dan menyelamat SAR diteruskan hari ini melibatkan 30 anggota polis, 30 anggota bomba, unit anjing pengesan K9 dan dron.
Katanya, kawasan pencarian sehingga radius dua kilometer meliputi kawasan sungai dan kampung sekitar.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai orang hilang. Buat masa ini, segala bentuk siasatan masih dijalankan. Kami mohon diberikan ruang dan peluang untuk meneruskan siasatan ini bagi memastikan setiap elemen yang ada dapat disiasat dengan teliti.
“Kami tidak akan meninggalkan sebarang aspek atau unsur yang perlu disiasat. Sama ada terdapat elemen-elemen lain, siasatan akan terus dijalankan,”katanya.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.-KOSMO! ONLINE