Pelancong tak tahan bau busuk Pekan Kukup

8 hours ago 4

PONTIAN – Isu kebersihan dan pencemaran bau di Pekan Kukup Laut, di sini perlu diatasi segera pihak berkuasa tempatan bagi mengekalkan status Kukup Laut sebagai sebuah syurga makanan laut di Johor.

Seorang pengusaha kafe, Cindy Ang, 29, berkata, dia mendapat banyak maklum balas pelancong melalui video dan TikTok yang menyatakan mengenai isu bau setiap kali ke Kukup Laut.

“Pelancong meminta isu bau dan juga kebersihan di Kukup Laut diberikan perhatian oleh kerajaan jika ingin menarik lebih ramai pelawat.

“Isu bau busuk dari jeti pendaratan ikan disebabkan pengusaha lori yang menurunkan hasil laut tidak membersihkan jeti selepas mereka menurunkan ikan baja menyebabkan berbau dan dihurung lalat,” katanya di sini baru-baru ini.

Ujarnya, peniaga dan pengusaha pelancongan di situ bergantung kepada kehadiran pelancong termasuk yang menggunakan Terminal Feri Antarabangsa Kukup untuk ke Tanjung Balai dan Selat Panjang dan sebaliknya.

“Namun isu bau masih menjadi masalah kepada Pekan Laut ini lebih-lebih lagi ketika penganjuran program Tahun Melawat Johor tahun hadapan.

“Isu sampah juga menjadi masalah bagi penduduk yang tinggal di beberapa penempatan air di Kukup Laut ini kerana tiada tempat bagi pembuangan sampah.

“Biasanya mereka akan membuang sampah mengikut di mana orang lain membuangnya dan semakin bertambah jumlahnya setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan berkata, perbincangan telah diadakan bersama dengan pengusaha ikan sangkar mengenai gangguan bau tersebut.

“Sebagai pilihan kerajaan telah menyediakan tanah bagi pembinaan sebuah jeti sebagai tempat menurunkan ikan baja kepada pemilik sangkar ikan di Permas Besar, tetapi tidak dipersetujui oleh mereka.

“Kedudukan jeti sedia ada di tengah-tengah Pekan Kukup Laut memang tidak sesuai kerana menimbulkan gangguan bau kepada pelancong tempatan dan pelancong asing yang datang ke sini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |