‘Kalau dia petik nama, peguam saya akan jawab isu herdik’

4 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Tiada kena-mengena, seniwati Fauziah Ahmad Daud hairan apabila namanya dipetik dalam isu membabitkan dakwaan guru vokal, Adzrin Adzhar yang mendedahkan pernah diherdik seorang artis veteran.

Fauziah atau mesra disapa Ogy, 63, berkata, tiada keperluan baginya untuk mengulas dakwaan tersebut apatah lagi menjawab tuduhan mempunyai pengaruh besar sehingga mengakibatkan penyanyi terbabit digugurkan daripada sebuah program televisyen.

“Siapa saya nak singkirkan orang. Adakah individu itu ada menyebut nama saya? Kalau tiada, saya tidak patut jawab isu ini.

“Tetapi kalau dia ‘petik’ nama saya, peguam saya akan jawab soalan itu. Selagi tak sebut, maknanya dia berada di zon selamat. Semudah itu,” katanya selepas sidang media Asian Top Stars di ASWARA, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia langsung tidak menyedari mengenai berita yang merujuk kepada isu diketengahkan individu berkenaan, apatah lagi ambil peduli identiti artis veteran dimaksudkan.

“Saya sendiri tidak membaca tentang isu ini, malah keluar di mana artikelnya pun saya tidak tahu.

“Kalau dia sebut artis veteran yang sudah lima dekad, saya rasa ramai lagi artis yang sudah 50 tahun berada dalam industri,” ujarnya.

Pada masa sama, aktres berpengalaman itu mengakui tidak pernah terbabit dalam mana-mana program bersama Adzrin namun pernah bersemuka dengannya di satu acara.

“Saya pernah bertemu dengannya ketika sidang media konsert Ezad Lazim. Setakat itu sahaja pertemuan kami.

“Saya juga tidak pernah bekerjasama dengan dia dalam mana-mana program. Saya cuma pernah dengar namanya sebelum ini.

“Tak tahu kenapa netizen petik nama saya dalam isu ini atau mungkin netizen nampak saya paling popular,” selorohnya.

Terdahulu, Adzrin, 40, menzahirkan kekecewaan apabila berdepan pengalaman pahit yang disifatkan menghina dirinya daripada seorang bintang senior.

Aktres berkenaan mempersoalkan kredibilitinya sebagai tenaga pengajar selain mendakwa pelakon itu meminta produksi menggugurkan namanya daripada menyertai sebuah program televisyen.

Walaupun terkesan, Adzrin memilih untuk kekal positif, bahkan terbuka untuk bekerjasama andai diberi peluang pada masa akan datang.

Sementara itu, mengenai Asian Pop Stars bakal memulakan siaran langsung di saluran RTM bermula 29 November depan, Fauziah dipilih sebagai pengetua.

Pertandingan membabitkan penyertaan peserta dari seluruh Asia itu menawarkan hadiah mencecah RM200,000 serta melayakkan lapan finalis menjalani latihan di akademi hiburan di Korea Selatan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |