Pengedar ibu heroin RM4.13 juta tumpas

4 hours ago 3

SHAH ALAM – Kelicikan sindiket pengedaran dadah jenis ‘ibu’ heroin dipercayai berpangkalan di Pulau Pinang sebelum dibawa ke Lembah Klang sejak setahun lalu tumpas dalam tiga serbuan serentak, Sabtu lalu.

Dalam serbuan antara pukul 1.30 tengah hari hingga 3.30 petang tersebut berjaya menahan tiga suspek lelaki termasuk dalangnya yang berusia 47 hingga 55 tahun di sekitar Subang Jaya, Seri Kembangan dan Permatang Pauh di Pulau Pinang.

Turut dirampas dalam kesemua serbuan itu hampir 50 kilogram termasuk heroin base dianggarkan RM4.13 juta.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati sindiket merupakan pengedar besar dengan mengambil dadah terus dari negara jiran sebelum dihantar ke Lembah Klang.

Katanya, dalangnya ditangkap di sebuah kedai makan di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan kondominium atau apartmen sebagai lokasi transit bagi penyimpanan bekalan dadah sebelum dihantar kepada pelanggan.

“Selain itu, sindiket ini turut mengubah suai kenderaan dengan memasang ruang khas bagi menyembunyikan dadah yang dibawa bagi mengelak dikesan pihak berkuasa semasa melalui sekatan jalan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau memberitahu, dua individu yang ditangkap di sekitar Selangor merupakan transporter bagi sindiket ini dengan upah RM5,000 bagi satu perjalanan.

Tambahnya, pihaknya percaya pengedaran dadah dari Pulau Pinang itu menggunakan satu atau dua transporter.

“Kita dalam usaha mengesan dan menangkap kesemua rangkaian sindiket ini.

“Mereka ini biasanya menjual dadah dalam dua pek heroin base pada harga RM80,000. Ini adalah ibu heroin ini yang kalau diproses bagi menghasilkan heroin yang pada gred lebih baik yang harganya lebih mahal,” ujarnya.

Beliau berkata, polis turut menyita empat buah kereta termasuk jenis Audi RS5, Toyota Innova dan Volkswagen Golf selain dua motosikal masing-masing jenis Honda NSR 150RR dan Lambretta bernilai keseluruhan RM166,000.

“Semakan rekod mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah lampau.

“Seorang daripada suspek juga positif methamphetamine. Ketiga-tiga suspek kini direman enam dan tujuh hari dengan siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |