PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman enam individu termasuk dua penjawat awam berjawatan pengarah bergelar Datuk serta seorang jurutera kerana disyaki menerima rasuah melibatkan nilai ratusan ribu ringgit.
Difahamkan, rusuah itu diterima membabitkan tawaran kerja kontrak pembangunan dan senggaraan dari tahun 2021 hingga kini.
Daripada jumlah itu, seramai lima suspek direman selama lima hari sehingga 24 Mei depan, manakala seorang lagi direman selama tiga selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an telah ditahan kira-kira pukul 5.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Dua suspek utama berjawatan pengarah serta jurutera di sebuah jabatan kerajaan di ibu negara dipercayai telah meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor-kontraktor yang ditawarkan kerja kontrak pembangunan dan senggaraan dibawah seliaannya antara 2021 hingga kini.
“Turut ditahan adalah pasangan suami isteri bersama bapanya merupakan seorang pemilik syarikat yang bergelar Datuk dan seorang kontraktor.
“Mereka ditahan kerana disyaki bertindak sebagai orang tengah dalam mendapatkan rasuah daripada kalangan kontraktor,” katanya tadi.
Sumber berkata, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek utama menerima kira-kira RM115,000 daripada orang tengah dalam bentuk wang tunai, pembiayaan ubah suai rumah dan pemberian telefon bimbit.
Katanya, menerusi Op Kepala yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM di 10 buah premis di sekitar Lembah Klang dan Johor semalam, SPRM telah menyita dua unit kenderaan jenis Toyota Hilux dan wang tunai kira-kira RM165,000.
“SPRM turut membekukan 95 akaun perbankan yang terdiri daripada akaun individu dan akaun syarikat melibatkan jumlah kira-kira RM6 juta,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE