Mendunia! Gayong tembusi pasaran Amerika Latin

9 hours ago 3

PETALING JAYA – Filem Gayong terbitan SOL Pictures terus mengukir kejayaan tersendiri apabila bakal menemui penonton di 33 buah negara Amerika Latin tidak lama lagi.

Perkhabaran baik itu disahkan penerbitnya, Eric Ong selepas wakil pemasaran antarabangsa syarikatnya, Movie Move menerima tawaran ketika menghadiri Festival Filem Cannes baru-baru ini.

“Mereka sangat berminat dengan filem berunsur seni mempertahankan diri Asia termasuk silat.

“Malah, mereka ternyata tertarik dengan Gayong dan menganggap filem tersebut sebuah naskhah menarik serta mutu penerbitannya sangat baik.

“Apa yang dimaklumkan kepada saya adalah untuk tayangan OTT. Cuma masih belum ada kata putus mengenai tarikh tayangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Eric, ketika ini proses penyediaan kontrak perjanjian antara kedua-dua pihak sedang berlangsung dan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Tambahnya, meskipun tidak ditayangkan di pawagam luar negara, dia tetap berbangga kerana Gayong berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

“Apapun saya tetap berbangga apabila Gayong dapat menembusi pasaran Amerika Latin.

“Ini membuktikan filem tempatan serta seni bela silat mempunyai nilai tersendiri dan dikagumi di peringkat global,” ujarnya.

Gayong diinspirasikan daripada kisah mahaguru dan pengasas silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman, manakala arahannya pula digalas pengarah prolifik, Faisal Ishak.

Barisan pelakonnya turut menyuntik kekuatan naskhah tersebut apabila dibintangi Beto Kusyairy, Nabila Huda, Syafie Naswip serta bintang aksi Indonesia, Yayan Ruhian.

Filem berkenaan sudah pun ditayangkan di Malaysia dan Brunei sejak 8 Mei lalu, manakala tayangan di Singapura bakal menyusul pada 22 Mei ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |