Pakar bedah Amerika Syarikat lakukan pemindahan pundi kencing pertama dunia

9 hours ago 5

WASHINGTON – Pakar-pakar bedah sebuah hospital di Los Angeles, California berjaya melakukan pembedahan pemindahan pundi kencing manusia pertama di dunia, kata beberapa pegawai hospital.

Pembedahan yang dilakukan pada 4 Mei lalu di Pusat Perubatan Ronald Reagan UCLA itu merupakan perkembangan positif bagi pesakit lain yang menderita akibat gangguan pundi kencing serius.

Penerima prosedur inovatif itu, Oscar Larrainzar, 41, ialah seorang bapa kepada empat anak. Sebahagian besar pundi kencing pesakit terpaksa dibuang akibat kanser beberapa tahun lalu, kata UCLA dalam satu kenyataan kelmarin.

Kedua-dua buah pinggang Larrainzar kemudian turut dibuang akibat kanser dan penyakit buah pinggang peringkat akhir, memaksa dia menjalani dialisis selama tujuh tahun.

Dia menerima kedua-dua pundi kencing dan buah pinggang daripada penderma organ dalam pembedahaan terbaharu yang berlangsung selama lapan jam.

“Pakar-pakar bedah mula memindahkan buah pinggang, diikuti dengan pundi kencing. Mereka kemudian menyambungkan buah pinggang ke pundi kencing baharu menggunakan teknik yang telah dipelopori,” kata kenyataan UCLA.

Pakar bedah yang terlibat dalam pemindahan bersejarah itu, Doktor Nima Nassiri berkata, prosedur itu memberikan hasil positif hampir serta-merta.

“Buah pinggang baharu menghasilkan sejumlah besar air kencing, dan fungsi buah pinggang pesakit bertambah baik hampir serta-merta.

“Pesakit tidak perlu menjalani dialisis selepas pembedahan dan air kencing mengalir dengan betul ke dalam pundi kencing baharu,” kata Nassiri.

Nassiri dan rakan pakar bedah, Inderbir Gill berkata, pemindahan pundi kencing penuh tidak pernah dilakukan sebelum ini kerana struktur vaskular pelvis yang kompleks, menjadikannya prosedur yang sukar secara teknikal.

“Percubaan pertama pemindahan pundi kencing ini telah mengambil masa lebih empat tahun untuk dilaksanakan,” kata Nassiri. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |