KUALA LUMPUR – ‘Sepasang kekasih’ disyaki menjadikan kemalangan kecil sebagai ‘modal’ untuk memeras wang mangsa menerusi taktik penipuan licik dan menyasarkan pemandu wanita berada di kawasan lorong sempit serta sunyi.
Difahamkan, kumpulan tersebut sengaja melanggar atau membiarkan diri mereka dilanggar, sebelum berpura-pura menjadi mangsa kemalangan dan mendesak agar mangsa membayar pampasan segera di lokasi kejadian.
Lebih keji, mereka turut menggunakan taktik ugutan psikologi dengan alasan pasangan mereka sedang mengandung dan perlu segera pulang ke kampung.
Modus operandi sindiket ini turut menyasarkan mangsa yang panik dengan dakwaan bahawa laporan polis hanya akan menyebabkan mereka disaman RM300 dan perlu menjelaskan di tempat kejadian.
Tiga kenderaan dikenal pasti terlibat dalam siri penipuan melibatkan dua buah kenderaan jenis Honda serta sebuah kenderaan jenis Proton.
Salah seorang mangsa, mahu dikenali sebagai Chow, 46, dari Puchong, mendakwa dia menjadi mangsa selepas kenderaannya bertembung dengan sebuah Honda Jazz ketika sedang mengundur dari sebuah parkir di Bandar Puteri, Puchong pada pada 7 April lalu.
“Pemandu Jazz tersebut segera keluar dan ajak saya ‘selesaikan di tempat kejadian’. Bila saya nak buat laporan polis, dia desak jangan kerana katanya saya akan disaman RM300,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Tambahnya, selepas beberapa kali rundingan, dia membayar RM150 sebagai pampasan.
Seorang lagi mangsa ingin dikenali sebagai, Chong, 47, dari Kuala Lumpur mendakwa dia dilanggar oleh sebuah Honda HR-V ketika sedang membelok ke kanan di satu simpang pada 20 Mei lalu.
“Saya panik kerana anak saya ada dalam kereta. Pemandu HR-V itu keluar dan pukul kereta saya guna payung dari restoran berdekatan.
“Suspek pada awalnya menuntut wang tunai sebanyak RM2,000 akhirnya dikurangkan kepada RM500 selepas rundingan hampir 20 minit,” katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menerima lebih 12 aduan rasmi, namun 10 daripadanya membuat laporan polis.
Katanya, kerugian berikutan kes berkenaan melibatkan sejumlah RM10,000 setakat ini. – KOSMO! ONLINE