Konflik manusia-hidupan liar meningkat, 66,825 kes sejak 2020

11 hours ago 4

ISKANDAR PUTERI – Konflik antara manusia dan hidupan liar menunjukkan peningkatan ketara apabila sejumlah 66,825 aduan direkodkan dari tahun 2020 hingga 2024, melibatkan kerugian bernilai RM46.5 juta.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, selain gajah, konflik ini turut melibatkan kera, babi hutan, harimau malaya dan tapir.

Menurut beliau, Johor merekodkan sebanyak 7,996 aduan konflik hidupan liar dengan jumlah kerugian bernilai RM6.88 juta dalam tempoh sama.

“Pendekatan yang lebih tuntas dan berkesan dalam menangani konflik antara manusia dan hidupan liar kini menjadi keperluan mendesak. Hal itu susulan data Jabatan Perhilitan merekodkan lonjakan serius dalam jumlah kes berkaitan.

“Tumpuan ketika ini diberi kepada konflik antara manusia dan gajah sebab ia banyak melibatkan harta benda dan juga nyawa manusia, kerana itu ia diberi tumpuan,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Jawatankuasa Khas Konflik Manusia-Gajah dan Sesi Dialog Bersama Menteri NRES yang diadakan di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, di sini hari ini.

Tambah Nik Nazmi, NRES melalui Jabatan Perhilitan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani konflik manusia dan gajah seperti penubuhan santuari gajah termasuk Santuari Gajah Johor.

“Selain itu, kita juga jalankan program pemantauan pergerakan kumpulan gajah secara pemasangan kolar satelit sebagai sistem amaran awal, membangunkan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) dan membangunkan National Elephant Conservation Action Plan (NECAP) sebagai garis panduan pengurusan gajah di Semenanjung Malaysia.

“Sementara itu, Inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) diperkenal tahun lalu dengan peruntukan RM10 juta sebagai bantuan kepada kumpulan sasar yang terjejas dan mengalami kerugian akibat konflik hidupan liar,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |