MUAR – Seorang anggota bomba sukarela diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki yang juga anak rakannya di Segamat, empat tahun lalu.
Hakim Sayani Mohd Nor membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membukti kes prima facie terhadap tiga pertuduhan dikenakan tertuduh, Zaki Ahmad, 52.
Ketika membaca keputusan di akhir pendakwaan, Sayani memberitahu keputusan itu dibuat selepas mengambil kira dan meneliti segala keterangan saksi pendakwaan serta eksibit dikemukakan di mahkamah.
“Selain itu, mahkamah meneliti keterangan bertulis daripada pihak pendakwaan dan pembelaan sepanjang perbicaraan kes ini berlangsung dan oleh itu, kamu diperintah membela diri.
“Mahkamah memberi tiga pilihan di peringkat pembelaan sama ada membuat akuan bersumpah dari kandang saksi, akuan tidak bersumpah atau memilih untuk berdiam diri,” hujahnya.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa lelaki berusia 17 tahun ketika kejadian di rumahnya di Segamat.
Perbuatan itu dilakukan antara jam 6 petang hingga 8 malam, 11 hingga 15 Julai 2021.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (b) dan (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan juga sebatan.
Berdasarkan laporan, tertuduh mengajak mangsa keluar ketika bersama-sama sebelum membawa pulang rumahnya.
Sebelum itu, mangsa tidak mengesyaki apa-apa kerana percaya terhadapnya selain menganggap tertuduh juga mengenali bapa angkatnya.
Sebaik tiba di rumah, tertuduh mengambil kesempatan melakukan perbuatan itu terhadap mangsa.
Bagaimanapun, mangsa hanya menceritakan kejadian itu kepada rakannya sebelum dimaklumkan kepada bapa angkat.
Susulan itu, bapa angkat mangsa membuat laporan polis dengan tertuduh ditahan pada 16 Januari 2021 bagi membantu siasatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam Syafie Naim daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). – KOSMO! ONLINE