KUALA LUMPUR – Keputusan kes seorang anak yang membunuh ibu bapanya dalam kejadian tragis di Kampung Sungai Penchala, yang sepatutnya diputuskan hari ini, ditangguh ke Jumaat oleh Mahkamah Tinggi, di sini.
Ia berikutan terdapat beberapa lagi barang kes terhadap pertuduhan yang didakwa ke atas Afendi Muhammad Agus@Muhamed Ali, 44, tidak dapat dikemukakan di mahkamah hari ini.
Semasa prosiding Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah memaklumkan beberapa barang kes fizikal seperti pisau dan mata pisau yang digunakan dalam kejadian itu tidak dibawa ke mahkamah.
Mendengar perkara itu, Hakim K.Muniandy kemudian menetapkan Jumaat ini untuk jatuh hukum.
Semasa prosiding hari ini, jurubahasa sekali lagi telah membaca semula pertuduhan dan Afendi kekal mengaku bersalah.
“Mengaku bersalah,” kata Afendi yang diwakili peguam Mohd. Ruzaini Zulkifli.
Terdahulu pada November tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan supaya Afendi menjalani pemeriksaan mental.
Hakim Muniandy menetapkan perkara itu terhadap Afendi bagi memastikan pengakuan bersalah yang dibuat tertuduh pada 6 September tahun lalu itu adalah dalam keadaan waras serta sukarela.
Sejurus selepas menjalani ujian psikiatri Afendi telah disahkan berada dalam keadaan mental yang waras ketika kejadian seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan yang mana laporan perubatan itu dikeluarkan 7 Februari lalu oleh Pakar Psikiatri (Forensik), Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Pihak pendakwaan turut memaklumkan semasa kejadian Afendi berada dalam keadaan mental yang waras dan sedar akan sifat dan akibat pengakuan perbuatannya serta mampu mengetahui tindakan itu salah di sisi undang-undang.
Pada sama sama, keadaan mentalnya juga adalah stabil dan layak dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan serta mampu membela diri.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa membunuh bapanya Muhammad Agus@Muhamed Ali Omar, 82, dan ibunya Darlisma Njatu Saleh, 72.
Kesalahan itu didakwa di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Jalan Penchala Hilir 6 di sini masing-masing pukul 7.10 malam dan 7.20 malam pada 9 Disember 2023.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE