Malakoff meterai perjanjian dengan HICOM Automotive

9 hours ago 3

PETALING JAYA – Malakoff Corporation Berhad (Malakoff), menerusi anak syarikat solar komersial dan industri (C&I) miliknya, Malakoff Radiance Sdn. Bhd. (MRSB), memperkukuh lagi usahanya dalam memperluaskan jejak tenaga boleh diperbaharui (TBB) menerusi pemeteraian Perjanjian Pembelian Tenaga Solar yang kedua bersama HICOM Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn. Bhd. (HICOM Automotive).

HICOM Automotive adalah syarikat utama dalam industri automotif Malaysia yang terlibat dalam pemasangan dan pengeluaran kenderaan premium.

Projek terbaharu yang melibatkan kapasiti terpasang sebanyak 4.22 MWp itu, bakal menjadi
pelaksanaan solar terbesar MRSB di satu lokasi, sekali gus menandakan permulaan fasa
kedua dalam kerjasama strategik yang semakin berkembang antara kedua-dua pihak.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, projek ini merupakan pencapaian penting bagi MRSB, bukan sahaja dari segi kapasiti terpasang, tetapi juga dalam mengukuhkan peranan syarikat sebagai pemacu utama dalam usaha nyahkarbon industri dan peralihan tenaga.

Menurut beliau, permintaan tenaga yang semakin meningkat dalam sektor industri memberi
tekanan yang besar ke atas grid nasional, sekali gus menyerlahkan keperluan untuk strategi
tenaga yang lebih bijak dan berdaya tahan.

“Dalam usaha merancang ke hadapan, Malakoff akan terus memberi tumpuan kepada
pengukuhan portfolio TBB melalui kerjasama strategik yang mampu menjana nilai jangka
panjang dan kecekapan operasi.

“Kerjasama ini membuktikan bagaimana pemain industri berskala besar boleh melangkaui komitmen kelestarian dengan melaksanakan tindakan iklim yang bermakna iaitu menyepadukan TBB dalam operasi teras dan menghasilkan impak yang
dapat diukur merentasi rantaian bekalan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Inisiatif membangunkan projek terbaharu iniadalah susulan kejayaan pelaksanaan projek fasa pertama yang melibatkan sistem fotovolta suria (PV) bumbung dengan kapasiti 2.0 MWp di fasiliti pengeluaran HICOM Automotive di Pekan, Pahang yang mula beroperasi secara komersial pada 1 Julai 2022.

Sehingga kini, projek fasa pertama telah menyumbang secara ketara kepada sasaran kelestarian HICOM Automotive dengan mengurangkan penggunaan elektrik dari grid sebanyak 7.0 GWh dan mengelakkan hampir 5,489 tCO₂e, bersamaan dengan penyerapan karbon oleh kira-kira 261,000 batang pokok.

Meneruskan momentum ini, projek fasa kedua yang dijadualkan untuk dimulakan
pembinaannya pada Jun tahun ini, akan melibatkan reka bentuk dan pemasangan
penyelesaian tenaga solar yang dipertingkatkan di fasiliti sama, menggabungkan sistem PV
bumbung konvensional dengan teknologi Fotovolta Bersepadu Bangunan yang
menyepadukan panel solar secara langsung ke dalam struktur bumbung tempat letak kereta.

Pendekatan bersepadu ini bukan sahaja menggabungkan penjanaan TBB dengan reka
bentuk seni bina, malah mengoptimumkan kecekapan sistem secara keseluruhan.

Sistem ini dijangka dapat mengurangkan kebergantungan fasiliti terhadap tenaga elektrik konvensional secara signifikan, menjana penjimatan kos jangka panjang dan memperkukuh komitmen HICOM Automotive terhadap amalan pembuatan yang lestari. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |