MELAKA – Seorang tentera berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan termasuk merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar sekolah, dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Zulfikar Ishak, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Haderiah Siri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak telah merogol kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun 6 bulan di dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama bagi tujuan seksual.
Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (AKSTK 2017) yang masing-masing memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebat.
Bagi pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh didakwa melakukan pengantunan terhadap mangsa dengan cara berkomunikasi melalui telefon untuk mendorong kanak-kanak itu melakukan aktiviti bersifat seksual.
Dia juga didakwa telah berjumpa dengan mangsa selepas pengantunan dengan cara menjemput dan membawa mangsa keluar dari asrama.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan juga dikenakan sebat mengikut Seksyen 12 AKSTK 2017 dan penjara tidak melebihi 10 tahun dan sebat di bawah Seksyen 13 akta sama.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva di sekitar daerah Melaka dan kawasan tempat letak kenderaan sebuah pasar raya di Cheng dalam daerah Melaka Tengah, pada pukul 1 tengah hari 4 Mei lalu.
Terdahulu pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwq Raya Wardah Ishhar mencadangkan jaminan keseluruhan berjumlah RM90,000 dikenakan bagi kesemua lima pertuduhan selain syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis sekali setiap bulan selain tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Peguam Amritpal Singh yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya merupakan tentera berpangkat sarjan yang telah berkhidmat sejak 10 tahun lalu dan merupakan penanggung tunggal keluarga.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 selain bersetuju dengan semua syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan. Mahkamah kemudian menetapkan 26 Jun depan sebagai sebutan semula kes.
Kosmo! pada 14 Mei lalu melaporkan, seorang tentera berpangkat sarjan direman tujuh hari kerana disyaki mencabul pelajar tingkat satu di sebuah sekolah berasrama di Melaka.