Azalina cadang pertimbang umur persaraan naik kepada 65 tahun

7 hours ago 3

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan had umur persaraan dinaikkan daripada 60 kepada 65 tahun.

Menurut beliau, pandangan secara peribadi itu dilontarkan berdasarkan pemerhatiannya terhadap jumlah individu yang berusia 60 tahun ke atas dilihat masih sihat, aktif dan berkemampuan untuk terus menyumbang perkhidmatan mereka.

“Sebab itu ucapan saya berkaitan persaraan. Saya hanya memberi komen mungkin kerajaan patut mempertimbangkan umur persaraan kepada 65 tahun. Itu pandangan peribadi saya.

“Tahu kenapa? Sebab sekarang ini ‘active ageing’ kita lihat ramai warga emas yang masih nampak muda dan sihat.

“Ada pegawai-pegawai yang saya jumpa, masih nampak muda dan aktif, cuma umur mereka (sudah) 60 tahun. Negara lain pun ada yang sudah naikkan ke umur 65 tahun, tapi bukanlah sampai 70 tahun,” katanya.

Azalina berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2024 dan Jasamu Dikenang Tahun 2025 Kluster Undang-Undang dan Reformasi Institusi, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sama seperti hakim mahkamah di negara ini yang ditetapkan usia persaraan mereka pada 65 tahun, had persaraan bagi rakyat di Malaysia juga adalah wajar dinaikkan.

“Saya lihat macam hakim-hakim (mahkamah), sebab mereka sampai usia 65 tahun. Di sesetengah negara, masa saya pergi mesyuarat Menteri Undang-undang ASEAN, ada yang sampai usia 70 tahun. Hakim mereka ada yang 65 tahun dan berkhidmat sampai usia 70 tahun.

“Saya tak tahu sama ada Kerajaan Madani akan pertimbangkan perkara itu tetapi saya cuma beri komen sahaja sebab saya lihat orang usia 60 tahun sekarang, ramai yang masih nampak muda,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |