LANGKAWI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (HMLTV) yang dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan.
Perasmian dilakukan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) hari ini.
HMLTV yang dikenali dengan nama RIBAT itu adalah yang pertama direka bentuk dan dibina oleh Mildef International Technologies Sdn. Bhd. (Mildef).
Penamaan RIBAT oleh Perdana Menteri itu membawa nilai simbolik tinggi serta merujuk kepada semangat berkawal mempertahankan tanah air yang berteraskan iman, patriotisme dan teknologi.
RIBAT dibangunkan oleh jurutera tempatan dengan sokongan kemudahan kejuruteraan bertaraf industri di Seremban dan Sepang.
Ia dilengkapi sistem perlindungan balistik modular dan direka untuk misi seperti rondaan, konvoi dan operasi khas
Pengarah Urusan Mildef, Datuk Seri Mohd. Nizam Kasa berkata, pelancaran RIBAT bukan sahaja mencerminkan keupayaan industri tempatan, malah menjadi manifestasi kejayaan dasar kerajaan dalam memperkasa ekosistem pertahanan yang berdikari dan berimpak tinggi.
“RIBAT merupakan hasil inovasi tempatan yang membuktikan bahawa Malaysia bukan sahaja mampu menjadi pengguna sistem pertahanan, tetapi juga pencipta teknologi strategik yang diyakini kerajaan dan komuniti global,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, lebih membanggakan, produk dan usaha Mildef turut meraih minat dan keyakinan antarabangsa.
“Syarikat pertahanan utama Indonesia, PT Pindad turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Mildef pada hari yang sama bersempena LIMA’25.
“Kerjasama ini membuka peluang eksport, pemindahan teknologi serta integrasi sistem antara kedua-dua negara serantau,” ujarnya.
Katanya, pada majlis sama, turut berlangsung pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Mildef dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), agensi penyelidikan utama di bawah Kementerian Pertahanan.
“MoA ini memfokuskan kepada pembangunan dua lagi platform kenderaan taktikal yang akan direka bentuk sepenuhnya dalam negara.
“Kerjasama erat bersama STRIDE adalah langkah strategik untuk memacu Malaysia menjadi hab penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertahanan di rantau ini,” jelasnya.
Pada LIMA kali ini, Mildef dijangka memeterai kontrak bagi pembekalan 136 unit Tarantula kepada Tentera Darat Malaysia.
Ia sekali gus membuktikan kemampuan dan kepercayaan Kementerian Pertahanan kepada Mildef dalam melaksanakan projek berskala besar dengan mengikut spesifikasi dan jadual yang ditetapkan kerajaan. – KOSMO! ONLINE