KAJANG – Seorang pengawal keselamatan yang sering mengenakan caj parkir tidak wujud selain mengeluarkan kata-kata ugutan kepada pengunjung di Hospital Kajang, ditahan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang wanita berusia 31 tahun berhubung dakwaan pengawal keselamatan itu telah meminta RM50 sebagai caj parkir daripada ibunya.
Beliau berkata, kejadian berlaku pada 23 Disember tahun lalu kira-kira pukul 4 petang di salah sebuah hospital, di sini.
“Pengawal keselamatan tersebut dilihat cuba untuk mengambil kesempatan dengan cara memeras wang tunai daripada pengunjung hospital sekiranya meletakkan kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan.
“Selain itu, pengawal keselamatan terbabit turut mengeluarkan kata-kata ugutan yang tidak sopan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengawal keselamatan wanita berusia 28 tahun itu direman sehingga esok bagi membantu siasatan.
Naazron berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan (melakukan pemerasan).
Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Pihak polis menyeru supaya orang awam atau individu yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini untuk menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan ataupun berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Ghazali Zulkifli di talian 016-9140758 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan perkongsian pengguna TikTok @allyszackry yang merupakan anak kepada seorang warga emas yang dikatakan telah ditipu oleh pengawal keselamatan mengenai caj parkir di hospital.
Pengguna itu memaklumkan dia telah tampil bersemuka dengan pengawal keselamatan tersebut bagi mendapatkan kembali bayaran yang dikenakan terhadap ibunya.
Katanya, ini merupakan kali kedua ibunya dikenakan caj yang sama oleh individu terbabit.
Sebelum ini juga, seorang pempengaruh TikTok, Iman Kamil memuat naik video menunjukkan pengawal keselamatan wanita yang sama meminta bayaran RM10 untuk caj parkir.
Pada awalnya, berlaku sedikit pergaduhan mulut apabila pengawal wanita itu secara keras mengatakan Iman telah melakukan kesalahan apabila meletakkan kenderaanya di kawasan parkir khas untuk kakitangan hospital.- KOSMO! ONLINE