PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berseloroh mungkin perlu mengenakan ‘caj royalti’ terhadap seorang pelajar yang mengakui mengambil inspirasi daripada gaya ucapannya ketika berucap pada majlis graduasi.
Menerusi ruangan komen di Threads, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada pelajar berkenaan, Awwal Azzudin Awang atas pencapaiannya menerima Anugerah Tertinggi Kolej PERMATA@Pintar 2026.
“Tahniah saudara atas penganugerahan, teruskan usaha. Ucapan yang baik. Mungkin kena caj royalti sikit,” tulis Anwar.
Komen berseloroh Perdana Menteri itu dibuat sebagai respons terhadap hantaran Awwal yang secara terbuka mengakui mengambil inspirasi daripada ucapan Anwar ketika diberi peluang menyampaikan ucapan pada majlis graduasinya.
Awwal dalam ucapannya dilihat turut dilihat memetik Surah Hud ayat 88, ayat sama yang dibacakan Anwar ketika menyampaikan ucapan pada Kongres Nasional Keadilan 2026 baru-baru ini.
Ayat tersebut antara lain membawa maksud seseorang itu tidak berniat melakukan sesuatu yang bertentangan dengan perkara yang dilarangnya, sebaliknya hanya berhasrat melakukan pembaikan sedaya upaya dengan pertolongan Allah.
Menurut Awwal, dia sering menonton ucapan dasar Perdana Menteri dan mendapati terdapat perkara yang disampaikan Anwar selari dengan pemikiran serta mesej yang ingin dibawanya.
Bagaimanapun, pelajar itu menjelaskan dia tidak meniru ucapan berkenaan secara bulat-bulat, sebaliknya menjadikannya sebagai sumber pembelajaran daripada seorang pemimpin yang dikaguminya.
“Saya mengambil inspirasi daripada sesuatu yang sememangnya dekat dengan apa yang saya fikirkan dan ingin sampaikan.
“Bukan tiru bulat-bulat, saya cuma belajar daripada seseorang yang saya kagumi. Saya belajar dari ucapan Datuk Seri,” katanya.
Dalam hantaran sama, Awwal turut menyatakan harapan untuk bertemu Anwar pada suatu hari nanti bagi berkongsi cerita dengannya.
Berdasarkan poster yang dikongsikan, Awwal Azzudin Awang dari kelas 5K6 merupakan penerima Anugerah Tertinggi 2026 sempena Majlis Graduasi Kolej Permata@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Dalam pada itu, ruangan komen hantaran berkenaan turut dibanjiri kata-kata semangat daripada orang ramai yang memuji keberanian serta kebolehan Awwal berucap.
“Hebat anak muda. Terus menjadi orang hebat yang berilmu,” komen @roziyahmahamad.
Sementara itu, @fairoznasha menyifatkan Awwal sebagai anak muda yang menjadi harapan masa depan negara selain memintanya terus memberi inspirasi kepada orang lain.
“Anak muda masa depan negara. Teruskan menginspirasi!” tulisnya.
Seorang lagi pengguna, @nrhafiza_fiez pula memuji gaya ucapan Awwal yang disifatkan mempunyai identiti tersendiri walaupun mengambil inspirasi daripada Anwar.
“Terbaik ucapan, bukannya tiru bulat-bulat. Ada gaya tersendiri tu. Syabas,” katanya.- KOSMO! ONLINE

2 hours ago
2














































![[VIDEO] Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kulai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-08-at-6.34.46-PM.jpeg)

