SHAH ALAM – Sebanyak 200 syarikat menjadi perintis label Inisiatif Pengiktirafan Muzakki (IKTIRAF) pada produk masing-masing bagi mengiktiraf mereka sebagai pembayar zakat perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor), Mohd. Khaidzir Shahari berkata, label IKTIRAF itu dijangka meningkatkan keyakinan pengguna untuk menyokong produk dan perkhidmatan syarikat yang terbabit kerana mengetahui mereka merupakan pembayar zakat perniagaan
Menurutnya, pendekatan itu diharap menjadi daya tarikan kepada usahawan untuk mula menunaikan zakat perniagaan, khususnya dalam kalangan syarikat milik orang Islam.
“Label ini akan digunakan selama 18 bulan dan syarikat yang meneruskan pembayaran zakat perniagaan pada tahun berikutnya secara automatik layak memperbaharui penggunaannya.
“Melalui label ini, pengguna dapat mengenal pasti produk daripada syarikat yang membayar zakat kepada Zakat Selangor, sekali gus mewujudkan ekosistem perniagaan yang turut memberi manfaat kepada golongan asnaf,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau hadir pada majlis Hi-Tea bersama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah di sini yang menyaksikan seramai 44 syarikat menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM11.48 juta kepada Zakat Selangor.
Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) turut menerima dana wakalah masing-masing RM300, 000 daripada Worldwide Holding Berhad dan RM100,000 daripada Tenaga Nasional Berhad bagi menyokong program kebajikan, pendidikan dan pembangunan belia diusahakan yayasan itu.
Mohd. Khaidzir berkata, IKTIRAF menawarkan pengiktirafan mengikut jumlah bayaran zakat perniagaan, bermula daripada kategori gangsa bagi bayaran RM20,000 hingga kategori berlian untuk bayaran RM1 juta dan ke atas.
“Tidak banyak syarikat membayar zakat perniagaaan dan berharap pendekatan ini menarik mereka bagi melakukannya seterusnya
mewujudkan ekosistem perniagaan yang akhirnya turut memberikan manfaat kepada asnaf,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Zakat Selangor menyasarkan RM234 juta kutipan zakat perniagaan tahun ini, didorong perkembangan pesat sektor ekonomi dan perniagaan di negeri itu.
Ujarnya, sasaran itu adalah sebahagian daripada sasaran keseluruhan kutipan dan agihan zakat sebanyak RM1.37 bilion tahun ini.
“Apa yang penting bukan sekadar mencapai angka tersebut sebaliknya matlamat lebih besar adalah memastikan lebih banyak syarikat dan usahawan memahami peranan mereka dalam berzakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

17 hours ago
6














































![[VIDEO] Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kulai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-08-at-6.34.46-PM.jpeg)

