Aliff Syukri impi bina masjid sebelum meninggal

16 hours ago 7

SHAH ALAM – Impian membina masjid, madrasah dan rumah anak yatim menjadi antara cita-cita besar usahawan serta pempengaruh sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, 39, sebelum meninggal dunia.

Aliff berkata, hasrat membina masjid sendiri itu kini sedang diusahakan dan ingin merealisasikannya di Selangor yang menjadi tempatnya bermastautin serta menjalankan perniagaan.

“Sebenarnya impian saya ingin membina masjid sendiri dan saya sedang berusaha ke arah itu.

“Kalau boleh saya mahu bina di Selangor sebab di sinilah tempat saya bermastautin walaupun saya lahir di Pahang. Selangor ini pusat dan semuanya ada di sini.

“Anggaran kos belum ada lagi. Kalau boleh, saya mahu ada masjid, madrasah dan rumah anak yatim sebelum meninggal dunia. Doakan Semoga impian itu termakbul,” katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, beliau antara lima penerima simbolik kepada label Inisiatif Pengiktirafan Muzakki (IKTIRAF) pada majlis Hi-Tea bersama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan pembayar zakat perniagaan di sini.

Dalam pada itu, Aliff berkata, beliau mahu terus menjadi antara pembayar zakat perniagaan terbesar di Selangor setiap tahun sebagai tanda tanggungjawab terhadap negeri yang menjadi tempat beliau mencari rezeki.

Katanya, sasaran pembayaran zakat sebanyak RM2 juta pada tahun lalu berjaya dicapai dan jumlah itu mahu diteruskan dengan peningkatan prestasi perniagaan.

“Tahun lalu sasaran RM2 juta tercapai. Saya percaya apabila kita sokong produk tempatan dan ada rezeki lebih, kita beri lebih juga. Jadi, setiap tahun saya mahu menjadi antara pembayar zakat yang besar di Selangor,” jelasnya.

Mengulas mengenai label IKTIRAF, Aliff berkata, inisiatif itu memberi peluang kepada syarikat untuk memperlihatkan secara terbuka komitmen mereka dalam menunaikan zakat perniagaan.

Katanya, label berkenaan juga membantu pengguna mengenal pasti jenama yang melaksanakan tanggungjawab membayar zakat sekali gus menggalakkan mereka menyokong produk tempatan.

“Ini satu peluang yang bagus. Ramai sebenarnya asnaf menerima zakat daripada Zakat Selangor dan mereka juga mahu tahu syarikat mana yang menyokong usaha ini.

“Dengan adanya label ini, masyarakat lebih cakna dan boleh menyokong jenama yang membayar zakat di Selangor,” katanya.

Aliff berkata, beliau telah bekerjasama dengan Zakat Selangor sejak lebih 15 tahun lalu dan percaya kepada peranan institusi itu dalam membantu golongan asnaf.

“Zakat Selangor adalah pusat pungutan zakat yang saya percaya. Kami sudah lebih 15 tahun bekerjasama dan Alhamdulillah saya gembira dengan apa yang mereka lakukan.

“Label ini ibarat SIRIM yang menunjukkan sesuatu barangan berkualiti atau logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengesahkan makanan itu halal.

“Begitu juga label Zakat Selangor yang menunjukkan sesebuah syarikat itu cakna dan menunaikan tanggungjawab membayar zakat,” katanya.

Sementara itu, pelakon dan usahawan, Wawa Zainal menzahirkan rasa syukur apabila mampu membayar zakat sebanyak RM1 juta setahun untuk tempoh tiga tahun berturut-turut.

“Dengan label IKTIRAF itu, pembeli pun secara tidak langsung ada pahala kerana menyumbang kepada zakat.

“Ia memberikan nilai tambah dan menunjukkan tanggungjawab sesebuah syarikat. Insya-Allah, kalau ada rezeki, sudah tentu saya akan menyumbang lebih banyak kepada Zakat Selangor,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |