KOTA TINGGI- Dua mangsa yang selamat dalam tragedi lemas di Pantai Tanjung Lompat kini masih berada di Hospital Kota Tinggi (HKT) akibat kecederaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali memaklumkan bahawa kedua-dua remaja itu dijumpai di sekitar kawasan batuan pantai tersebut.
Katanya kedua-dua mangsa yang selamat dikenalpasti sebagai Mohamad Faqrul Isqandar Abdullah dan Muhammad Afiq Ruzaini Mazlan, masing-masing berusia 16 tahun.
“Difahamkan mereka masih berada di HKT. Kedua-duanya mengalami kecederaan termasuk trauma.
“Jadi kita akan sediakan perkhidmatan sokongan bersesuaian kepada mereka, termasuk keluarga empat mangsa yang lain,” katanya kepada pemberita ketika melawat lokasi kejadian, di sini hari ini.
Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) melalui pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi akan memberi perhatian terhadap kebajikan keluarga mangsa serta keadaan emosi murid dan warga sekolah yang terkesan.
Jelasnya, pihak sekolah turut membantu keluarga mangsa dalam urusan dokumentasi berkaitan termasuk berkenaan perlindungan takaful murid tertakluk kepada syarat dan ketetapan.
“Mewakili kerajaan negeri, saya zahirkan simpati dan dukacita kepada seluruh keluarga mangsa. Semoga ahli keluarga semua pihak yang terkesan diberikan kekuatan dalam menghadapi dugaan ini,” katanya.
Semalam, enam remaja lemas selepas menjalankan aktiviti mandi pantai, sebelum dua daripada mereka berjaya diselamatkan orang awam, manakala empat yang lain hilang.
Dua mangsa hilang telah ditemukan pasukan mencari dan menyelamat, dikenalpasti sebagai Alif Taqiuddin Kamal Hasrul yang ditemukan pada pukul 1.25 petang semalam, manakala Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor pula ditemukan pada pukul 1.53 petang, hari ini.
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan pihak berkenaan bagi menemukan dua lagi mangsa yang masih hilang, dikenal pasti sebagai Mohamad Haiman Fitri Supian dan Muhammad Adib Hafiy Kamal.- KOSMO! ONLINE

2 hours ago
2













































![[VIDEO] Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kulai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-08-at-6.34.46-PM.jpeg)


