‘Nyawa dan roh kafe sudah tiada’, Secangkir Cafe beroperasi kali terakhir esok

1 hour ago 1

PETALING JAYA – “Sayang seribu kali sayang, tapi terpaksa juga kerana nyawa dan roh di kafe tersebut sudah tiada.”

Demikian luahan keluarga Allahyarham Nur Atiqah Sofiya Mohd. Kazwan, 32, ketika mengumumkan Secangkir Cafe di Sungai Karang, Kuantan, Pahang tidak akan meneruskan operasi susulan pemergian pemiliknya dalam nahas ngeri di Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1), Isnin lalu.

Menerusi perkongsian di Threads hari ini, ahli keluarga Allahyarham memaklumkan keputusan berat itu dibuat kerana mereka tidak mempunyai kepakaran untuk menghasilkan semula kek-kek yang menjadi identiti kafe berkenaan.

Menurutnya, setiap kek dihasilkan Allahyarham Sofiya mempunyai keunikan tersendiri dengan menu berbeza ditawarkan pada setiap minggu.

“Sayang seribu kali sayang, tapi terpaksa juga kerana nyawa dan roh di kafe tersebut sudah tiada dan kami juga tiada kepakaran untuk menghasilkan semula kek-kek arwah Sofiya kerana semuanya unik dan berbeza setiap minggu.

“Kami juga ingin mengumumkan esok, Jumaat, 4 September kami akan buka buat kali terakhir dari pukul 3 petang hingga 9 malam sahaja,” katanya.

Menurut perkongsian itu, operasi terakhir berkenaan hanya akan memfokuskan kepada jualan kopi dan kek dengan stok yang sangat terhad.

Malah, pelanggan hanya dibenarkan membeli satu potong kek setiap seorang manakala kopi pula dihadkan kepada 300 cawan sahaja.

“Kami juga akan lelong segala stok dan perkakasan kedai. Kami akan kemas kini gambar stok yang ada pada hari esok.

“Insya-Allah hasil duit jualan akan digunakan jika arwah adik kami masih ada hutang dengan sesiapa dan menyelesaikan apa yang tertunggak,” katanya.

Keluarga Allahyarham mengakui keputusan menamatkan operasi kafe berkenaan amat berat, namun merasakan ia merupakan pilihan terbaik selepas kehilangan insan yang menjadi tonggak utama perniagaan tersebut.

Mereka turut mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan yang menyokong Secangkir Cafe sejak awal penubuhan selain berharap orang ramai dapat menyebarkan maklumat mengenai hari terakhir operasi berkenaan.

“Berat, sangat berat keputusan ini tapi kami rasa itulah yang terbaik. Terima kasih kepada semua yang pernah menyokong Secangkir Cafe dari awal dan esok adalah hari terakhir legasi Secangkir.

“Terima kasih semua. Harap dapat uar-uarkan kepada orang ramai. Sekali lagi maafkan kami atas keputusan ini,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Nur Atiqah Sofiya yang merupakan pemilik Secangkir Cafe maut bersama suaminya, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, dan anak lelaki mereka dalam kemalangan di Kilometer 110.4 LPT1, Temerloh.

Tiga beranak berkenaan menaiki Proton S70 ketika kejadian, manakala seorang lagi lelaki yang menaiki Honda CRV turut terkorban dalam nahas tersebut.

Kemalangan berantai itu membabitkan 11 kenderaan termasuk bas ekspres, lori tangki simen, trak pikap, kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan utiliti sukan (SUV) dan beberapa buah kereta.

Difahamkan, Allahyarham Sofiya sememangnya mempunyai minat mendalam dalam pembuatan kek sebelum mengambil keputusan menceburi bidang perniagaan dan membuka kafe kira-kira dua tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |