PUTRAJAYA- Sektor perkhidmatan awam perlu memastikan setiap perbelanjaan dibuat sebagaimana yang diperuntukkan di dalam bajet kerajaan.
Itu respon ringkas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar ketika ditanya berhubung isu antara Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang menjadi perhatian ketika ini.
“Dalam perkhidmatan awam, kena berbelanja sebagaimana yang dibajetkan (diperuntukkan),” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Seminar AI Sektor Awam 2026 dan Penyampaian Anugerah Public Sector AI Nexus Challenge 2026 di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan-kenyataan dikeluarkan pihak yang terbabit dan menyarankan perkara itu dirujuk kepada MoF.
“Itu kena tanya Tan Sri Johan (Ketua Setiausaha Perbendaharaan,” katanya.
Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kekecewaan berhubung kelewatan pembayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan sehingga menjejaskan kelangsungan operasi mereka.
Kata Ahmad Zahid, beliau ‘panas’ dengan isu itu apabila masih terdapat sebilangan kontraktor yang sudah melaksanakan kerja dan mencapai kemajuan ditetapkan mengikut kontrak pembangunan termasuk projek Jalan Luar Bandar (JALB), namun berdepan kelewatan menerima bayaran.
Sementara itu, Johan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tiada sekatan dibuat ke atas peruntukan KKDW berhubung projek jalan luar bandar malah ia telah disalurkan sepenuhnya oleh MoF.
Johan menjelaskan, kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor berbangkit adalah disebabkan peruntukan tahun semasa telah pun dibelanjakan hampir sepenuhnya oleh KKDW.
Mengikut rekod MoF, sejak tahun 2023, perbelanjaan KKDW melebihi peruntukan sebenar iaitu RM1.8 bilion (perbelanjaan) berbanding RM1.1 bilion (peruntukan) diikuti RM2 bilion perbelanjaan melebihi RM1.3 bilion (2024) dan RM2.3 bilion berbanding RM1.6 bilion (2025).
Bagi tahun ini pula setakat terkini, perbelanjaan KKDW adalah pada RM1.9 bilion berbanding RM2.1 bilion peruntukan sebenar. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
2













































![[VIDEO] Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kulai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-08-at-6.34.46-PM.jpeg)


