KUANG – Usahawan Datuk Red akur apabila kes pengesahan lafaz rujuk membabitkan dirinya dengan bekas isteri, Adira Suhaimi masih belum menemui noktah, malah perlu melalui satu lagi proses sebelum keputusan muktamad dibuat.
Datuk Red atau nama sebenarnya Adnan Abu Hasaan, 43, berkata, tujuan utama permohonan berkenaan dibuat hanya untuk mendapatkan kepastian mengenai status lafaz rujuk berlaku sebelum ini, sekali gus mengelakkan sebarang kekeliruan pada masa depan.
“Kes ini masih lambat lagi untuk selesai. Sebenarnya dalam hal ini, saya cuma mahu bercakap mengenai urusan permohonan cerai daripada pihak saya.
“Islam itu mudah, tetapi saya tidak mahu mengambil mudah. Saya cuma mahu mendapatkan pengesahan. Kalau memang benar, tidak ada masalah, saya akan uruskan dan selesaikan perkara ini dengan mudah. Kalau tidak benar pun, lebih mudah.
“Saya cuma mahu pengesahan rujuk. Sebenarnya perkara ini sudah boleh selesai lebih awal, tetapi disebabkan ada pelbagai saksi dan sebagainya, kes ini menjadi meleret dan panjang. Jadi, tidak mengapa. Kita tunggu keputusan,” katanya kepada HibGlam.
Tambah Datuk Red, kehadirannya ke mahkamah bukan sekadar memenuhi proses perundangan, malah bagi memastikan tidak timbul dakwaan dia sengaja melengahkan penyelesaian kes berkenaan.
“Hari ini pun sebenarnya tidak ada keperluan untuk saya datang, tetapi saya tidak mahu nanti saya pula dipersalahkan kerana dikatakan melambatkan kes ini. Sebab itu saya hadir.
“Bagaimanapun, kes ini ditangguhkan sehingga Oktober untuk proses penghujahan sahaja. Belum ada keputusan lagi. Jadi, saya serahkan kepada peguam,” ujarnya selepas selesai prosiding keterangan pihak Adira berhubung kes pengesahan lafaz rujuk di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, hari ini.
Ditanya mengenai pendiriannya sekiranya mahkamah mengesahkan lafaz rujuk berkenaan sah, Datuk Red tetap dengan keputusan untuk menceraikan semula Adira.
“Ya, tidak ada masalah. Memang saya akan lepaskan dia. Macam saya cakap tadi, saya mahu mudahkan. Islam memang mudah, cuma saya mahu sahkan dulu sama ada rujuk itu sah atau tidak. Itu sahaja.
“Kalau pengesahan rujuk sah, saya tetap akan lepaskan dia,” jelasnya.
Mahkamah menetapkan 19 Oktober depan bagi kedua-dua pihak memfailkan penghujahan berhubung kes pengesahan lafaz rujuk terbabit.
Terdahulu, mahkamah menolak permohonan penarikan balik kes difailkan Datuk Red terhadap Adira.
Menerusi permohonan difailkan pada 18 Disember lalu, Datuk Red mendakwa berlaku lafaz rujuk pada Mei 2024 ketika Adira masih dalam tempoh idah selepas perceraian mereka.
Bagaimanapun, Adira sebelum ini meluahkan rasa terkejut dengan tindakan bekas suaminya itu dan mendakwa Datuk Red meminta bayaran RM100,000 sebagai antara syarat untuk menarik balik kes berkenaan.
Adira dan Datuk Red mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua sebelum bercerai pada 24 April 2024.
Hasil perkahwinan, pasangan berkenaan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 8, Asan, 7, Anggun, 5, dan Ayob, 4. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
4













































![[VIDEO] Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kulai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-08-at-6.34.46-PM.jpeg)


