PUTRAJAYA – Pendakwah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani hari ini gagal memperoleh kebenaran untuk merayu bagi mendapatkan semula tauliah mengajar agama yang ditarik oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Datuk Nordin Hassan dalam keputusan, sebulat suara menolak permohonan Ahmad Dusuki atas alasan gagal memenuhi syarat ambang di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
“Soalan yang dikemukakan, terutamanya soalan keempat dan kelima tidak menunjukkan sebarang isu baharu atau isu yang memberi kepentingan awam,” katanya sambil menambah soalan tersebut juga berkisar pada fakta kes.
Panel yang turut dianggotai Datuk Seri Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk P. Ravinthran mengecualikan Ahmad Dusuki daripada membayar kos.
Ahmad Dusuki memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman pada 2022 di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan menamakan MAIS serta Jawatankuasa Tauliah Negeri Selangor sebagai responden dan permohonan itu dibenarkan.
Dalam semakan kehakiman itu, Ahmad Dusuki mendakwa responden telah mengeluarkan tauliah mengajar kepadanya bagi tempoh berkuat kuasa 5 Disember 2018 hingga 30 Jun 2023.
Bagaimanapun, lelaki itu mendakwa menerima surat bertarikh 1 Disember 2021 daripada MAIS menyatakan mesyuarat Jawatankuasa Tauliah Negeri Selangor memutuskan untuk menarik balik tauliah mengajarnya berkuat kuasa 3 Mac 2022 di bawah Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.
Ahmad Dusuki memohon antara lain perintah certiorari untuk membatalkan keputusan itu, perintah mandamus bagi responden mengembalikan semula tauliah, pengisytiharan keputusan menarik balik tauliah itu tidak sah dan batal serta ganti rugi.
Pada 5 Oktober 2023, Mahkamah Tinggi hanya membenarkan perintah untuk membatalkan keputusan penarikan balik tauliah tersebut.
Ahmad Dusuki, 50, kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang enggan memberikan relif lain dimohonnya, bagaimanapun ditolak menyebabkan lelaki itu memfailkan permohonan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan.
Semasa prosiding di Mahkamah Persekutuan, peguam Ashok K. Raman yang mewakili Ahmad Dusuki berkata kebenaran wajar diberikan untuk mahkamah tertinggi negara memutuskan soalan undang-undang yang dikemukakan, terutamanya mengenai sama ada pemegang tauliah mengajar agama dilarang terlibat secara aktif atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik yang berdaftar secara sah di Malaysia.
Peguam Arham Rahimy Hariri yang mewakili MAIS dan Jawatankuasa Tauliah Negeri Selangor berhujah soalan undang-undang yang dikemukakan bukanlah soalan baharu dan hanya berkisar pada fakta kes. – Bernama

6 hours ago
4













































![[VIDEO] Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kulai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-08-at-6.34.46-PM.jpeg)


