Elegan pancingan layang di Empangan Kelau

1 hour ago 3

Berita lambakan ikan peacock bass di Empangan Kelau, Raub, Pahang telah menarik minat sekumpulan pemancing layang untuk turun mencuba keberkesanan umpan layang mereka
terhadap ikan pendatang ini.

Kebiasaannya, apabila bercerita mengenai pancingan di Empangan Kelau, pasti akan terlintas kaedah yang popular seperti mengilat gewang dan pancing dasar,
Tetapi bagaimana pula dengan pancing layang?

Saya dan dua lagi rakan dijemput untuk menjadi pemandu pancing (guide) kepada enam pemancing layang terkemuka tanah air daripada Team Tacklebox Adventures.

Sesi pancingan mereka kali ini dilakukan selama dua hari menggunakan tiga buah bot. Dua pemancing di dalam satu bot bersama tekong. Objektif utama mereka, tidak lain, tidak bukan adalah menawan ikan peacock bass (PB) yang kebelakangan ini telah ‘merajai’ empangan.

Tidak seperti pancingan konvensional lain seperti mengilat gewang atau pancing dasar, melaksanakan pancingan layang di empangan ini bukan satu perkara yang mudah kerana keadaan perairannya sentiasa berangin.

Ini bakal menimbulkan cabaran paling besar ketika proses melayangkan tali.

Selain itu, keadaan empangan yang kebanyakan tempat diliputi tumbuhan terapung seperti pokok keladi bunting dan kawasan dasar dipenuhi reba banat berupa pokok-pokok tenggelam juga merupakan satu masalah jika hendak menghela naik ikan PB menggunakan set pan­cing layang ‘lemah gemalai’ itu.

Namun, setiap masalah yang timbul pasti ada penyelesaiannya kerana bukanlah satu per­kara mustahil menaikkan apa-apa spesies ikan di mana-mana persekitaran sekalipun.

Lawan angin

Ketika trip tempoh hari, angin sudah berhembus kuat seawal pukul 9 pagi lagi, sedangkan kawasan yang sangat berpotensi untuk mendapat­kan ikan PB adalah di hujung tanjung terletak di kawasan terbuka.

Bagi menyelesaikan masalah besar melayangkan tali, joran pan­cing layang berkekuatan wt. 7 dan 8 digunakan kerana dapat melayang tali berat yang dapat melawan angin.

Bagi kumpulan pemancing layang ini, semua masalah-masalah tadi dianggap enteng sahaja kerana kebanyakan daripada mereka me­rupakan pemegang Certified Casting Instructor (CCI).

Set pancing layang wt.7 dan 8 serta paten umpan layang yang efektif ketika trip tempoh hari.

CCI ialah satu tauliah dikeluarkan oleh Fly Fishers International (FFI) yang berpengkalan di Amerika Syarikat untuk pengajar seni pan­cingan layang.

Berbekalkan pengalaman luas dan kemahiran yang baik, walaupun dalam keadaan bot sempit serta bergoyang, namun tidak menjadi satu masalah besar bagi mereka untuk menyampaikan umpan tepat ke sasaran dengan teknik layangan tali roll cast serta tight back and forward cast.

Mereka tidak mengambil masa lama untuk mendapatkan tangkapan ikan PB yang pertama.

Umpan layang

Kumpulan pemancing layang ini memilih umpan layang paten clouser minnow, baitfish streamer dan popper fly.

Ketiga-tiga paten umpan layang ini sangat efektif hingga membuatkan mereka berjaya mendaratkan ikan PB bersaiz kecil sehinggalah yang melangkau panjang 50 sentimeter (sm).

Kebanyakan masa, ikan PB berada rapat di dasar.
Bagi pemancing mengilat, gewang seperti crankbait yang boleh menyelam dalam atau spoon dan soft plastic boleh ditenggelamkan pasti menjadi pilihan utama untuk menarik perhatian ikan PB.

Pemancing layang juga boleh menyampaikan umpan layang mereka ke perimeter yang dalam.

Caranya mereka akan gunakan tali layang jenis tenggelam (sinking fly line).

Tali layang jenis tenggelam ini juga terdapat dalam beberapa variasi bergantung kepada kadar kecepatan ia tenggelam,.

Jadi, perlu menggunakan tali yang ber­sesuaian dengan keadaan struktur di dasar bagi mengelak ia cepat tersangkut reba.

Sejenis lagi tali layang yang selalu digunakan adalah jenis terapung (floating fly line) yang biasa digunakan di kawasan cetek dan juga amat sesuai jika mahu mempersembahkan popper fly.

Tali menyambungkan antara tali layang ke umpan layang pula dipanggil tapered leader, dan kekuatan yang mereka gunakan ketika trip antara 20 hingga 25 paun (lb).

Dengan menggunakan fast sinking line, ia membuatkan umpan layang Eddie Lim sampai ke perimeter ikan PB berlegar.

Ia sudah cukup memadai untuk menahan lelasan mulut ikan PB yang kesat.

Daripada pemerhatian saya sepanjang sesi pancingan bersama mereka, pancing layang didapati lebih cepat memperolehi tangkapan ikan PB berbanding kaedah mengilat gewang.

Mungkin kerana umpan layang yang dihantar tidak mengeluarkan sebarang bunyi percikan air apabila jatuh ke permukaan air hingga membuatkan ikan PB tidak menjadi culas.

Kedua, rupa dan saiz umpan layang digunakan lebih realistik serta mimik ikan perimpin atau seluang yang menjadi diet ikan PB hingga membuatkan lebih terangsang untuk menyambar.

Gaya renangan umpan layang yang lebih menyerupai ikan sebenar apabila tali layang ditarik juga menyumbang kepada faktor ikan PB lebih cepat menyambarnya berbanding gewang.

Bukti

Bagi meninjau lebih jauh keberkesanan pancing layang ini terhadap ikan PB, saya cuba membawa mereka ke beberapa lubuk yang agak sukar untuk mendapatkan tangkapan kerana merupakan kawasan nelayan tempatan sering memasang jaring.

Namun, mereka tidak mempunyai sebarang masalah dan masih berjaya memperolehi tangkapan ikan PB di lokasi tersebut.

Pada saya, pancing layang mempunyai seni dan cabarannya yang tersendiri.

Seorang pemancing layang memerlukan kemahiran teknik lemparan dan kawalan ketika layangan tali dilakukan supaya umpan sampai ke sasaran dengan cantik.

Nampak senang, tapi hakikatnya tidak semudah apa yang dilihat pada mata kasar.

Hayunan joran ketika proses melayang tali yang berterusan sepanjang hari amat meletihkan jika tidak kena dengan gayanya.

Tetapi jika dilakukan dengan tertib dan berdisiplin, semua akan berjalan dengan lancar.

Jika anda berminat dengan pancingan layang, boleh rujuk Tacklebox Adventures yang sentiasa menerima dan mengajar pemancing yang baru hendak berjinak dengan gaya pancingan elegan ini.

Read Entire Article
Pertanian | | | |