Anak Malaysia gegar pentas robot dunia

1 hour ago 3

PERSAINGAN sengit dengan pasukan tuan rumah, China, dalam Kejohanan Robotik Dunia (World Robot Challenge) ke-23 menjadikan peluang untuk membawa pulang pingat emas pada awalnya dirasakan sukar digapai.

Lebih-lebih lagi, pasukan Malaysia terpaksa berdepan beberapa masalah teknikal pada robot ketika perlawanan berlangsung termasuk bahagian robot yang rosak sehingga menjejaskan keupayaannya mengutip puck.

Dalam satu perlawanan paling mendebarkan menentang China, robot Malaysia berdepan kesukaran untuk memasukkan puck, manakala robot lawan pula kelihatan ringkas tetapi mampu bertahan setiap kali berlaku perlanggaran.

Dengan masa yang terhad untuk melakukan pembaikan, setiap detik menjadi penting buat pasukan Malaysia bagi memastikan robot mereka kembali berfungsi dengan hebat.

Namun, segala debaran itu akhirnya bertukar kegembiraan apabila keputusan diumumkan dan pasukan Malaysia muncul juara sekali gus meraih pingat emas dalam kategori Puck Collector Junior.

Pasukan tersebut dianggotai tiga murid Malaysia dari sekolah berbeza iaitu Che Raeesa Che Rostami, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Melawati 2; Anaqi Azizi Asnur Azizi, 11, dari SK Putrajaya Presint 16 (2) dan Wan Umar Wan Azlan, 10, dari SK Taman Tun Dr Ismail 1, Kuala Lumpur.

Menurut Che Raeesa, berpeluang bertanding dalam kejohanan dunia tersebut sebelum naik ke pentas untuk menerima pingat emas bagi Malaysia momen yang paling tidak akan dilupai.

“Semasa pertandingan, beberapa bahagian robot kami rosak dan kami perlu membaikinya dalam masa yang sangat terhad. Memang setiap masa kami rasa seperti berlumba dengan masa.

“Siapa sangka kami berjaya meraih emas dan merupakan kemenangan pertama buat saya secara peribadi. Saya rasa bangga apabila dapat naik ke pentas untuk menerima pingat bagi negara Malaysia,” katanya kepada K-Remaja.

Selain emas, satu lagi pasukan Malaysia turut meraih gangsa dalam kategori yang sama sekali gus menunjukkan dominasi Malaysia di podium.

Untuk rekod, seramai 92 wakil Malaysia berusia antara sembilan hingga 18 tahun beradu nasib bagi pelbagai kategori dalam World Robot Challenge ke-23 di Beijing, China pada Ogos lalu yang menghimpunkan lebih 5,000 peserta dan peminat robotik dari lebih 40 negara di seluruh dunia.

Sementara itu, bagi Anaqi, kejayaan tersebut bukanlah yang pertama apabila dia sebelum ini turut meraih pingat emas dalam kategori sama pada tahun lalu.

Kali ini, kemenangan itu menjadi lebih bermakna apabila turut disaksikan keluarganya yang hadir ke Beijing untuk memberikan sokongan.

Malaysia diwakili 92 kanak-kanak dan remaja dalam pertandingan robot dunia World Robot Challenge ke-23.

“Ini kali kedua saya memenangi pingat emas dalam kategori yang sama. Tahun lalu pun saya menang emas, tetapi dengan pasukan yang berbeza.

“Paling saya ingat ialah dapat melihat seluruh keluarga berada di Beijing. Ibu bapa, datuk dan nenek serta adik-beradik semuanya datang ke tempat pertandingan untuk menyokong saya. Saya sangat gembira,” katanya.

Dalam pertandingan yang melibatkan beberapa kategori itu, Malaysia secara keseluruhannya membawa pulang lima pingat menerusi empat kategori iaitu dua emas, satu perak dan dua gangsa.

Selain emas dalam kategori Puck Collector Junior yang diraih Che Raeesa, Anaqi dan Wan Umar, satu lagi emas disumbangkan dalam kategori Robobowling Senior oleh Cheong Zhen Hao, Lee Jian Kai dan Yap Yu Min.

Pingat perak pula diraih dalam kategori Puck Collector Senior menerusi Elijah Shreyash Nair dan Muhammad Irfan Rizqi Roseaidy, manakala dua pingat gangsa masing-masing dimenangi dalam kategori Puck Collector Junior oleh Cheah Cheng You, Keith Chan dan S. Avighna Sivam serta kategori Freestyle Junior oleh M. Nethish Sharmaa dan Muhammad Raffan Aqhyaar Mohd Nafis.

Berkongsi tentang persediaan, Muhammad Irfan yang mula meminati robotik sejak usia sembilan tahun berkata, dia mula mempelajari pengekodan menerusi kelas dalam talian sebelum menyertai pertandingan robotik tempatan dan kemudian direkrut menyertai pasukan World of Robotic.

Persiapan menghadapi kejohanan dunia itu dimulakan sejak tahun lalu, manakala lima bulan sebelum pertandingan, mereka mula bertemu setiap minggu untuk menguji robot, memperbaiki kod serta meningkatkan kelajuan dan prestasi robot.

“Setiap Ahad kami akan berlatih. Kami banyak membuat perancangan, berlatih dan menguji robot. Kalau ada sesuatu yang tidak berfungsi, kami akan menulis semula kod dan cuba meningkatkan kelajuan serta prestasi robot.

“Saya rasa komunikasi yang baik dan menghadapi masalah bersama-sama sangat penting untuk memastikan pasukan berjaya,” katanya.

Menurut Pengarah Projek World of Robotics Sdn. Bhd., Michelle Choo, kejayaan pasukan Malaysia di Beijing bukan dicapai dalam tempoh singkat, sebaliknya hasil proses pembangunan bakat muda yang dilakukan sejak tahun 2016 menerusi pertandingan World of Robotics Championship di peringkat kebangsaan.

Katanya, pertandingan itu menjadi platform untuk mengenal pasti pelajar yang berpotensi sebelum mereka diberi latihan dan bimbingan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Pasukan yang pergi ke Beijing tidak dibentuk dalam sekelip mata. Ia adalah hasil daripada perjalanan pembangunan bakat yang lebih panjang,” katanya.

Tambahnya, peserta Malaysia turut menunjukkan kelebihan dari segi pengetahuan menyeluruh dalam pembangunan robot, merangkumi reka bentuk, pembinaan, pengaturcaraan, pengujian dan penyelesaian masalah.

“Mereka bukan sekadar tahu kendalikan robot tetapi faham bagaimana komponen berfungsi bersama dan bagaimana pengaturcaraan mengawalnya.

“Apabila berdepan masalah, mereka boleh melihat dari sudut mekanikal, pengaturcaraan atau strategi dan membuat penyesuaian sendiri,” katanya.

Menurut Michelle lagi, pengalaman bertanding juga menjadikan peserta lebih berdikari apabila mereka mula berani menganalisis kesilapan dan mencari penyelesaian tanpa terlalu bergantung kepada guru atau jurulatih.

Mereka turut belajar untuk bertanya, mencuba serta membuat penambahbaikan apabila berdepan masalah.

Pengalaman itu secara tidak langsung membantu meningkatkan keyakinan mereka untuk bersaing di pentas antarabangsa.

“Perubahan cara berfikir itu sangat penting kerana mereka belajar bahawa melakukan kesilapan adalah sebahagian daripada proses.

“Daripada situ, mereka belajar untuk tidak mudah berputus asa dan lebih yakin apabila berdepan peserta dari negara lain,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |