Kontroversi Madu atau Racun, tindakan bukan bawah bidang kuasa Finas

2 hours ago 4

PETALING JAYA – Ketika bahang kecaman terhadap drama Madu atau Racun semakin memuncak, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menjelaskan bukan bidang kuasa pihaknya untuk mengenakan sebarang tindakan tegas.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, drama tersebut disiarkan menerusi platform penstriman yang tidak tertakluk kepada kawal selia Lembaga Penapis Filem (LPF), namun pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) bagi membincangkan kandungan berunsur seksual dan LGBTQ dalam penerbitan penstriman.

“Finas akan berbincang dengan CMCF dalam tempoh terdekat bagi memastikan kandungan digital dan platform penstriman menghormati nilai budaya, agama dan undang-undang negara, walaupun bidang kuasa kami terhad kepada platform pawagam.

“Syarikat penerbitan dan pengarah drama wajar mempunyai rasa tanggungjawab walaupun mereka menghasilkan karya untuk platform OTT (over-the-top) mahupun penstriman antarabangsa,” katanya kepada Kosmo! Online.

Azmir berkata, kemudahan menerbitkan karya untuk platform OTT tidak wajar disalah tafsir sebagai lesen untuk berkarya tanpa batas khususnya apabila menyentuh perkara berkaitan sensitiviti agama dan budaya masyarakat Malaysia.

“Kita tidak menghalang mereka untuk mempamerkan kreativiti tetapi undang-undang serta syariat agama juga perlu dipatuhi.

“Maksudnya pihak produksi diberikan kelonggaran dari sudut kreativiti sahaja, tetapi sensitiviti agama dan budaya tidak boleh diabaikan,” ujarnya.

Ulasnya lagi, Finas juga sedang mengkaji cadangan memperluaskan kuasa badan berkenaan menerusi penambahbaikan peraturan pelesenan yang bakal dibawa ke peringkat Kementerian Komunikasi.

Katanya, antara cadangan yang dipertimbangkan adalah membolehkan agensi terbabit mengenakan tindakan terhadap syarikat penerbitan menerusi Sijil Perakuan Penggambaran (SPP).

“Kita nak masukkan kuasa Finas dalam peraturan pelesenan baharu di bawah Sijil Perakuan Penggambaran (SPP), di mana jika timbul isu seperti ketegangan perkauman, isu agama, keharmonian masyarakat atau tidak membayar pekerja dan kru, Finas boleh tarik balik SPP.

“Masih ada peluang untuk masukkan peraturan itu sebab pihak kami sedang dalam proses menambah baik peraturan lesen untuk dibawa ke peringkat kementerian,” katanya.

Begitupun, akuinya cadangan tersebut masih di peringkat penelitian dan belum diputuskan kerana perlu melalui proses kelulusan daripada kementerian.

“Kalau kita beri kebebasan kepada pengkarya, kita juga kena pastikan mereka faham tanggungjawab. Kita tidak mahu apabila sesuatu isu berlaku, semua pihak hanya menuding jari kepada pihak lain.

“Penggiat industri perlu tahu bahawa apabila mereka menghasilkan sesuatu kandungan untuk masyarakat tempatan, sekali gus perlu menjaga sensitiviti agama, budaya dan keharmonian masyarakat,” katanya.

Terdahulu, sejak disiarkan di platform iQIYI bermula pada 23 Ogos lalu, drama Madu atau Racun lakonan Aliff Aziz, Uqasha Senrose dan Elisya Sandha menjadi bualan di laman sosial apabila didakwa memaparkan adegan yang dianggap keterlaluan.

Rata-rata netizen berharap pihak kerajaan menghentikan tayangan drama bersiri 12 episod itu yang didakwa menonjolkan adegan menjurus kepada pelakuan songsang.

Begitupun, semalam pengarah Madu Atau Racun, Eyra Rahman, berkata naskhah dihasilkan adalah sebagai pengajaran, bukan mendorong orang ramai mencontohi isu diketengahkan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |