Raja Penyu sudah kembali, buat gajah Sulong…selamat datang ke Terengganu – MB
PETALING JAYA – Selepas hampir sembilan tahun tidak direkodkan mendarat di Terengganu, kemunculan semula ‘Raja Penyu’ atau penyu belimbing di negeri itu mencuri perhatian, selain kepulangan seekor gajah liar ke habitat yang lebih selamat.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penyu belimbing dipercayai mendarat dan bertelur di Pantai Gong Balai, Marang pada 1 September lalu.
Menurut beliau, sebanyak 44 biji telur ditemukan sebelum dipindahkan dengan selamat ke pusat penetasan di Rantau Abang.
“Selepas hampir sembilan tahun tidak direkodkan mendarat di Terengganu, ‘Raja Penyu’ kembali ke pantai kita,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, Terengganu turut menerima ‘tetamu’ istimewa apabila Sulong Chalil, gajah liar jantan yang sebelum ini berkeliaran di sekitar Jalan Raya Timur-Barat, dipindahkan ke Taman Negara Terengganu.
Katanya, pemindahan dilakukan melalui pintu masuk Tasik Kenyir bagi membolehkan gajah berkenaan menikmati habitat yang lebih selamat dan sesuai.
“Dua cerita ini mengingatkan kita bahawa Terengganu bukan hanya kaya dengan keindahan alamnya, tetapi turut menjadi tempat penting untuk hidupan liar terus hidup dan dilindungi,” katanya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar kemunculan penyu belimbing terus berlaku di pantai Terengganu, manakala Sulong Chalil dapat menjalani kehidupan lebih aman di habitat baharunya.
“Alam ini bukan milik kita seorang. Ia amanah untuk kita pelihara supaya generasi akan datang masih dapat melihat sendiri khazanah yang sama.
“Selamat datang dan selamat pulang ke Terengganu,” katanya.- KOSMO! ONLINE

6 hours ago
4













































![[VIDEO] Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kulai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-08-at-6.34.46-PM.jpeg)


