Palapes dapat laluan khas ke Angkatan Tetap, dikecualikan ujian tertentu

6 hours ago 4

ARAU – Calon Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) yang masih aktif kini mendapat laluan khas untuk menyertai Angkatan Tetap apabila dikecualikan daripada beberapa ujian tertentu dalam proses pemilihan mulai tahun ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu dilaksanakan bagi memperluaskan peluang kepada pegawai kadet Palapes yang berminat meneruskan kerjaya ketenteraan menerusi latihan Pegawai Kadet Graduan.

“Mulai tahun 2026 ini, calon Palapes yang masih aktif akan diberikan pengecualian daripada menduduki beberapa ujian tertentu semasa proses pemilihan. Pengecualian ini selaras dengan Perintah Majlis Angkatan Tentera Siri 9/2025 termasuk Ujian Pengetahuan Am, Ujian Kecerdasan Akal, Ujian Kepimpinan dan Merancang serta Ujian Pengucapan Awam,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Eksekutif Palapes Universiti Awam di Universiti Malaysia Perlis, di sini hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, pegawai lepasan Palapes juga boleh memohon Pertugasan Sepenuh Masa bagi mengisi perjawatan tertentu di unit, kapal, pangkalan serta formasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sekiranya mereka diserap ke dalam Angkatan Tetap, tempoh perkhidmatan termasuk pangkat semasa boleh diambil kira mengikut syarat ditetapkan.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan akan menjalankan kajian penambahbaikan bayaran insentif bagi Pegawai Kadet Palapes merangkumi Elaun Kehadiran Latihan Tempatan, Bounti Tahunan dan Pemberian Pakar.

Katanya, ATM pada masa sama sedang meneliti cadangan memberi peluang kepada Pegawai Kadet Palapes menjalani latihan industri di unit dan pasukan Angkatan Tetap bagi memberi pendedahan kepada persekitaran tugas sebenar.

Selain itu, penyertaan mahasiswa dalam Askar Wataniah juga berpotensi mendapat pengiktirafan jam kredit akademik tertakluk kepada kelulusan institusi pengajian tinggi masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |