Himpunan 10,000 wanita Selangor berselawat

2 hours ago 3

DALAM kesibukan menjalani rutin harian, ribuan wanita Selangor mengambil ruang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menyemarakkan rasa cinta terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW menerusi program 10,000 Wanita Selangor Berselawat.

Himpunan berkenaan bukan sekadar menyatukan ribuan wanita dalam satu majlis keagamaan, malah menjadi medan menghayati keindahan selawat, doa dan akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian sempena Maulidur Rasul.

Majlis anjuran Wanita Berdaya Selangor (WBS) tersebut berlangsung istimewa di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Bermula seawal pukul 6 petang, program tersebut menyemarakkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW dalam mengukuhkan ukhuwah serta nilai kerohanian di negeri Selangor.

Seramai 10,000 wanita dari sekitar Selangor menyertai program anjuran Wanita Berdaya Selangor itu dalam menyemarakkan cinta kepada Nabi Muhammad SAW sempena Maulidur Rasul.

Exco Pembangunan Wanita, Anfaal Saari berkata, program itu menjadi wadah penyatuan rohani dan pengukuhan ukhuwah wanita di negeri ini, selain menyemarakkan usaha membina generasi berilmu serta berakhlak.

“Selain memperkukuh nilai Islam, program ini turut mengangkat peranan penting wanita menerusi penghayatan nilai kasih sayang, tanggungjawab dan akhlak mulia dalam membentuk insan serta komuniti yang sejahtera.

“Pada masa sama, ia merapatkan hubungan strategik antara WBS, Kerajaan Negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan dalam usaha memperkasa agenda pembangunan wanita,” katanya kepada K-Wanita.

Menurut Anfaal, kerajaan negeri komited menerajui agenda pemberdayaan wanita ke arah membina masyarakat inklusif dan berdaya tahan, selain memperkukuh ekosistem keprihatinan di Selangor.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WBS, Siti Faridah Abdul Samad berkata, majlis itu menjadi titik permulaan untuk para jemaah bersama-sama berselawat dan berdoa, selain menyemai kecintaan terhadap Rasulullah SAW.

“Marilah kita menyuburkan diri dengan nilai keimanan dan berazam menjadi hamba yang dekat dengan Allah SWT serta mencintai Rasulullah SAW, di samping meneladani akhlak baginda dalam kehidupan seharian.

“Setiap selawat yang dilafazkan menjadi asbab turunnya rahmat Allah SWT kepada hamba-Nya serta menyemai rasa cinta kepada Rasulullah SAW dan mengukuhkan keimanan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Johan Qariah Tilawah Al-Quran Antarabangsa Nor Farhatul Fairuzah memimpin alunan selawat.

Bagi seorang pengunjung, Nor Aisyah Sabri, 38, peluang menyertai program berkenaan memberi pengalaman yang cukup bermakna apabila dapat meluangkan masa bersama-sama wanita lain dalam suasana dipenuhi selawat dan doa.

“Jarang kita dapat berkumpul dalam jumlah yang ramai untuk tujuan sebegini. Apabila selawat dialunkan bersama-sama, suasananya sangat menyentuh hati dan membuatkan saya rasa lebih dekat dengan Rasulullah SAW.

“Saya harap program seperti ini dapat diteruskan kerana mengingatkan kita supaya jangan terlalu sibuk dengan urusan dunia hingga terlupa untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Siti Hafizah Izzati, 28, berkata, program berkenaan sarat dengan pengisian bermanfaat selain memberi peluang kepada wanita Selangor berkumpul, berselawat dan menghayati nilai agama.

“Program ini sangat baik dengan pengisian yang padat dan bermanfaat kepada pengunjung.

“Saya berharap program seperti ini dapat diperbanyak lagi di Selangor supaya lebih ramai dapat bersama-sama berselawat dan menghayati kecintaan kepada Rasulullah SAW,” katanya.

Tambah menarik, program turut menampilkan alunan selawat dipimpin Johan Qariah Tilawah al-Quran Antarabangsa, Nor Farhatul Fairuzah Panut.

Program juga diisi dengan tazkirah mengesankan bertajuk Meneladani Akhlak Rasulullah SAW: Inspirasi Buat Wanita Beriman yang disampaikan Ustazah Nazirah Abu Bakar.

Bertemakan ‘Bersama Menghayati Kecintaan kepada Rasulullah SAW’, program itu ternyata memberi peluang kepada wanita Selangor menghayati nilai kasih sayang, perpaduan dan akhlak mulia yang dibawa Rasulullah SAW.

Himpunan yang disertai 10,000 wanita Selangor ini sekali gus menyemarakkan penghayatan Maulidur Rasul dalam kalangan masyarakat, khususnya wanita, menerusi pengisian yang mengajak mereka untuk kembali menghayati ajaran dan akhlak Rasulullah SAW sebagai panduan dalam kehidupan.

Read Entire Article
Pertanian | | | |