‘Kes Faisal Halim, pukul skinhead, semua nak kaitkan dengan saya’

11 hours ago 2

JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail kesal dengan tindakan segelintir masyarakat yang mengaitkan diri baginda dengan beberapa kes jenayah yang mendapat perhatian terutamanya kes simbah asid ke atas Faisal Halim serta kes pukul vokalis gig yang dikaitkan dengan kumpulan skinhead.

Baginda bertitah, masalah itu timbul sebenarnya ada pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengannya adalah kerana hakikat bahawa baginda mampu melakukan perubahan dalam negara.

“Baru-baru ini ada berlaku kes pukul di sebuah konsert tempatan. Seperti biasa, ada yang cuba kaitkan insiden itu dengan saya. Konsert punk tempatan pula tu. Adakah muka saya kelihatan seperti orang yang habiskan masa dengan ‘headbanging’ di gig punk underground.

“Dalam insiden Faisal Halim, timbul pula bisikan dan spekulasi yang cuba kaitkan saya. Biar saya jelaskan, saya dan JDT tidak perlu turunkan diri ke tahap serendah itu. Saya seorang askar, kalau saya ada sesuatu untuk disampaikan atau dilakukan, saya tidak akan bersembunyi di sebalik tindakan pengecut seperti itu,” baginda dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Ismail meminta mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan baginda untuk menerima kehadirannya atau ‘habiskan dirinya terus’.

Baginda bertitah bahawa akan terus berada dalam sukan bola sepak tanah air dan membangunkan Johor Darul Ta’zim (JDT) ke tahap antarabangsa.

“Jikalau apa yang membuatkan anda sakit hati adalah pengaruh, maka saya ada berita yang kurang baik, pengaruh itu tidak akan hilang. Sama ada dalam bola sepak, politik atau apa jua bidang sekalipun, ia adalah sebahagian daripada ekosistem.

“Saya baru 41 tahun, dan pengaruh saya, kuasa, pengalaman, kewangan hanya akan bertambah dari sini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |