20 asnaf Perak dijamin kerja dalam bidang penjagaan warga emas

1 day ago 13

IPOH – Seramai 20 belia asnaf dari negeri ini yang akan mengikuti program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Operasi Penjagaan Warga Emas anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Komune Care Centre Sdn. Bhd. di bawah UOA Academy bulan hadapan dijamin peluang pekerjaan.

Pengurus Besar, Bahagian Pemerkasaan Asnaf MAIPk, Amirudin Osman berkata, kesemua mereka yang berusia antara 18 hingga 30 tahun tersebut dijamin peluang pekerjaan dengan Komune Care Centre Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat UOA Group di ibu negara.

Beliau berkata, seramai 12 asnaf berkenaan telah dibawa ke Kuala Lumpur semalam sebelum baki peserta program itu akan menyertai mereka dalam masa terdekat.

“Program SKM Operasi Penjagaan Warga Emas memberikan peserta pendedahan kepada pengetahuan, kemahiran praktikal dan pengalaman dalam persekitaran kerja sebenar.

“Lebih daripada sekadar menyediakan pendidikan secara percuma, inisiatif ini merupakan usaha bersama untuk mewujudkan mobiliti sosial melalui kemahiran,” katanya di sini hari ini.

Amirudin berkata, anak-anak asnaf yang menyertai program itu bukan sahaja diberikan peluang untuk memperoleh kelayakan kemahiran, malah dibimbing untuk membina laluan kerjaya dalam sektor yang semakin diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pembelajaran UOA Academy, Aqmal Fikri berkata, inisiatif itu merupakan langkah mereka dalam memastikan peluang pendidikan kemahiran dapat diakses oleh komuniti yang memerlukan.

Pada masa sama, katanya, ia mencerminkan langkah berani UOA Academy dalam meneroka bidang penjagaan warga emas yang semakin mendapat permintaan di peringkat global susulan perubahan demografi dan peningkatan populasi warga emas.

“Menyedari bahawa Malaysia sedang menuju ke arah negara tua, pembangunan tenaga kerja dalam sektor penjagaan menjadi semakin penting.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut memberi penekanan terhadap pembangunan tenaga penjaga yang berkemahiran bagi memenuhi keperluan penjagaan warga emas dan golongan rentan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |