ARAU – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencatatkan sejarah tersendiri apabila menerima kemasukan pelajar diploma paling tinggi sejak penubuhannya dengan seramai 1,009 orang mendaftar bagi sesi akademik 2025/2026.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, daripada jumlah itu seramai 744 pelajar adalah lelaki manakala 265 lagi perempuan yang akan mengikuti tujuh program utama kejuruteraan ditawarkan tujuh fakulti termasuk Fakulti Komputeran Cerdas (FKC).
“Pecahan kemasukan melibatkan Kejuruteraan Elektronik seramai 162 pelajar, Kejuruteraan Elektrik (155), Kejuruteraan Bahan (152), Kejuruteraan Mekatronik (151), Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (145), Kejuruteraan Pembuatan (136) dan Kejuruteraan Komputer (108).
“Peningkatan jumlah pelajar baharu ini bukan sekadar angka tetapi merupakan satu amanah dan kepercayaan tinggi daripada ibu bapa serta pelajar kepada UniMAP sebagai institusi pilihan untuk pendidikan tinggi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Taklimat Waris sempena Minggu Suai Kenal (MSK) Diploma 2025/2026 di Dewan Ilmu, Kampus UniMAP Pauh Putra yang turut disertai pegawai-pegawai utama universiti.
Dalam pada itu, suasana pendaftaran turut dimeriahkan dengan kehadiran pasangan kembar dari Sandakan, Sabah iaitu Mohamad Mirwansyah dan Mohamad Nirmansyah Arah, 18, yang sanggup menempuh perjalanan ribuan kilometer demi melanjutkan pengajian di UniMAP.
Menurut ibu mereka, Anisah Nasir, 42, mereka memulakan perjalanan dari Sandakan ke Kota Kinabalu menaiki bas sebelum terbang ke Johor Bahru dan seterusnya menaiki kereta ke Perlis.
“Walaupun Sabah dan Perlis dipisahkan Laut China Selatan, kami sanggup redah semata-mata untuk anak-anak mendapat pendidikan berkualiti. Tambahan pula kakak mereka, Sarifah Nurun Nisa, 19, juga sedang belajar di UniMAP,” katanya. – KOSMO! ONLINE