Pengalaman Farah Ann cetus inspirasi

2 hours ago 1

BEKAS ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi diberi penghormatan apabila dilantik sebagai Chef de Mission kontinjen Malaysia ke Sukan Remaja Asia (AYG) 2025 di Manama, Bahrain pada 22 hingga 31 Oktober tahun depan.

Pelantikan itu diumumkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN), sekali gus menampilkan figura muda dan dinamik sebagai peneraju kontinjen negara.

MOM dalam kenyataan memaklumkan pengalaman serta pencapaian cemerlang Farah Ann di pentas antarabangsa diyakini mampu memberi inspirasi kepada barisan atlet muda yang akan membawa cabaran Malaysia di Bahrain bulan depan.

Sepanjang kariernya, Farah Ann meninggalkan legasi gemilang dalam arena gimnastik dengan meraih 12 pingat termasuk tujuh emas, dua perak dan tiga gangsa dalam empat edisi Sukan SEA bermula 2011 sehingga 2019.

FARAH ANN

Detik paling manis hadir pada Sukan SEA Filipina 2019 apabila dia meraih tiga emas dalam acara all-around, senaman lantai dan palang bertingkat selain menerima Anugerah Olimpian Tahunan oleh MOM pada tahun sama.

Farah Ann turut mewakili Malaysia di pentas Komanwel (2010, 2014, 2018) serta Sukan Asia (2014, 2018) sebelum mencapai kemuncak karier apabila layak beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020, menjadikannya gimnas keempat negara menjejakkan kaki ke pentas Olimpik.

MOM optimis kredibiliti dan karisma Farah Ann bukan sahaja bakal menyuntik semangat kontinjen muda negara, malah menjadi teladan terbaik untuk melahirkan atlet berdaya saing tinggi di pentas antarabangsa. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |