JAKARTA – Beberapa letupan menggegarkan masjid Sekolah Menengah Atas Negeri 72 (SMA Negeri 72) di Jakarta Utara semasa solat Jumaat, mencederakan sekurang-kurangnya 15 pelajar dan lima guru, lapor laman berita Jakarta Globe.
Letupan berlaku sekitar pukul 12.30 tengah hari (waktu tempatan) di sekolah itu, yang terletak dalam kompleks Tentera Laut di Kelapa Gading, Jakarta Utara. Pihak berkuasa masih belum menentukan punca kejadian.
Menurut saksi, letupan itu datang dari bahagian belakang dewan utama masjid, menyebabkan jemaah berebut-rebut untuk menyelamatkan diri.
“Khutbah baru sahaja bermula apabila kami terdengar satu letupan kuat,” kata seorang guru matematik yang berada di dalam masjid, Budi Laksono.
“Asap cepat memenuhi bilik. Pelajar berlari keluar dengan ada yang menangis, ada yang panik,” tambahnya.
Kebanyakan mangsa mengalami kecederaan ringan akibat serpihan kaca dan gelombang kejutan bunyi. Mereka yang cedera dibawa ke klinik daerah Kelapa Gading untuk rawatan awal.
Sejurus selepas kejadian itu, anggota Tentera Laut dan pegawai Polis Jakarta mengepung kawasan tersebut ketika skuad bom menjalankan pemeriksaan penuh di lokasi kejadian.
Pemeriksaan awal masih belum mengesahkan punca letupan. Penyiasat sedang mempertimbangkan beberapa kemungkinan termasuk litar pintas elektrik atau kerosakan peranti elektronik.
Bagaimanapun, mereka turut menemukan objek mencurigakan berhampiran tempat kejadian. Ia termasuk komponen menyerupai alat letupan buatan sendiri, alat kawalan jauh dan senjata api jenis airsoft serta revolver.
Polis berkata, siasatan sedang dijalankan dan semua bukti akan diperiksa oleh pakar forensik serta pelupusan bom. – AGENSI

2 hours ago
1

![[VIDEO] ‘Tuala wanita punya pasal..tahi di sana, tahi di sini’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-07-at-5.19.13-PM.jpeg)
![[VIDEO] ‘Dengan kami pun terikut baca doa’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-07-at-5.00.29-PM.jpeg)














































