MJKR puji tindakan JPJ banteras pemandu warga asing tanpa lesen

2 hours ago 1

PETALING JAYA – Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Tan Sri Lee Lam Thye menyuarakan sokongan penuh terhadap tindakan tegas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang giat membanteras pemandu lori warga asing tidak berlesen dan tidak memiliki dokumen sah.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, tindakan Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ yang mengetuai operasi bersama Jabatan Imigresen (JIM) wajar dipuji kerana berjaya mengekang kegiatan pemandu warga asing yang semakin berleluasa di jalan raya negara ini.

“Saya menyokong penuh langkah tegas yang diambil JPJ terhadap pemandu lori warga asing yang tiada lesen, cukai jalan dan insurans (GDL). Mereka ini ibarat bom jangka yang boleh mengundang malapetaka jika berlaku kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemandu warga asing yang diupah oleh syarikat pengendali lori termasuk syarikat konsesi kutipan sampah perlu diberi perhatian serius kerana perbuatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

“Sekiranya berlaku kemalangan melibatkan mereka, kesannya boleh menjadi sangat buruk kerana kebanyakan mereka tidak dilindungi insurans dan tidak layak memandu kenderaan berat,” jelasnya.

Lee turut menegaskan sudah tiba masanya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang menggajikan warga asing tanpa lesen sah bagi memastikan keselamatan di jalan raya terus terjamin.

“Pengusaha-pengusaha yang tidak bertanggungjawab perlu diheret ke muka pengadilan. Ini bukan soal keuntungan semata-mata, tetapi keselamatan nyawa orang ramai,” katanya.

Beliau turut memuji keberkesanan operasi bersepadu JPJ dan JIM yang disifatkan sebagai langkah tepat bagi menangani isu keselamatan jalan raya yang semakin meruncing.

“Usaha bersepadu ini menunjukkan kesungguhan kerajaan memastikan hanya pemandu yang layak dan berlesen dibenarkan memandu kenderaan berat di negara ini,” ujarnya.

Lee menambah, semua pihak termasuk syarikat pengangkutan perlu memainkan peranan dalam mematuhi peraturan jalan raya dan tidak sewenang-wenangnya menggaji warga asing tanpa kebenaran sah.

“Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang sanggup menggadaikan nyawa orang lain demi keuntungan sendiri,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata, sebanyak 5,915 kesalahan membabitkan pemandu warga asing daripada syarikat pembersihan milik kerajaan negeri Selangor telah direkodkan sejak Januari hingga kini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 2,170 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, selain 1,729 notis arah periksa, 1,620 notis larangan penggunaan kenderaan, 154 notis temu siasat, 104 notis permintaan butiran pemandu dan 138 notis sita.- KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |