MENLO PARK, CALIFORNIA – Gergasi teknologi, Meta mengunjurkan 10 peratus daripada keseluruhan jualannya pada 2024, atau kira-kira AS$16 bilion (RM67 bilion) dipacu oleh iklan online bagi produk penipuan dan yang diharamkan, lapor saluran berita CNBC News semalam.
Iklan-iklan seperti itu termasuk promosi untuk skim e-dagang dan pelaburan palsu, kasino online haram dan penjualan produk perubatan yang diharamkan, demikian menurut laporan agensi berita Reuters berdasarkan dokumen dalaman syarikat.
Dokumen-dokumen tersebut menunjukkan percubaan syarikat untuk mengukur kelaziman pengiklanan palsu pada aplikasinya seperti Facebook dan Instagram.
Meta mencatatkan lebih A$164.5 bilion (RM687 bilion) dalam jualan keseluruhan bagi tahun 2024. Minggu lalu, syarikat itu berkata, jualan suku ketiga meningkat 26 peratus tahun ke tahun kepada AS$51.24 bilion (RM214 bilion).
Ia juga meningkatkan jumlah minimum perbelanjaan untuk tahun lalu sebanyak AS$2 bilion (RM8.3 bilion) sebagai sebahagian daripada pelaburan besar-besaran dalam aspek kecerdasan buatan (AI).
Laporan Reuters memetik dokumen Disember 2024 yang menunjukkan bagaimana Meta setiap tahun menjana kira-kira AS$7 bilion (RM29 bilion) dalam jualan tahunan daripada apa yang dipanggil iklan penipuan berisiko tinggi iaitu promosi yang jelas mengelirukan.
Setiap hari, platform-platform Meta menunjukkan kepada pengguna kira-kira 15 bilion iklan penipuan berisiko tinggi ini, kata laporan Reuters yang memetik dokumen berasingan.
Walaupun beberapa dokumen menunjukkan bahawa Meta mahu mengurangkan jumlah iklan palsu di platformnya, dokumen lain menunjukkan syarikat itu bimbang unjuran perniagaannya boleh terjejas oleh sebarang penyingkiran promosi palsu secara tiba-tiba.
Sementara itu, seorang jurucakap Meta berkata, syarikat itu secara agresif menangani iklan penipuan pada aplikasinya.
“Unjuran bahawa 10 peratus daripada jualan iklan syarikat pada tahun 2024 datang daripada iklan penipuan adalah anggaran kasar dan terlalu inklusif. Ia bukannya angka muktamad malah, semakan berikutnya mendedahkan bahawa kebanyakan iklan ini langsung tidak melanggar peraturan,” katanya. – AGENSI

2 hours ago
3

![[VIDEO] ‘Tuala wanita punya pasal..tahi di sana, tahi di sini’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-07-at-5.19.13-PM.jpeg)
![[VIDEO] ‘Dengan kami pun terikut baca doa’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-07-at-5.00.29-PM.jpeg)














































