KAJANG – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd. Ali dan 12 lagi tertuduh lelaki telah dibebaskan hari ini.
Kesemua mereka keluar dari Kompleks Penjara Kajang pukul 5.40 petang yang mana kesemua ahli keluarga telah menunggu di pekarangan pakir kereta sejak pagi tadi.
Terdahulu kesemuanya dijangka akan dibebaskan hari ini apabila kesemuanya telah selesai menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh selama 13 bulan dan 20 hari.
Menurut peguam, Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili semua tertuduh, meskipun Mahkamah Tinggi di sini menjatuhi mereka hukuman penjara selama 15 bulan, namun jika ditolak dengan tempoh cuti umum dan hujung minggu, ia membolehkan anak guam dibebaskan serta-merta.
Nasiruddin dan 12 tertuduh lelaki dihukum penjara 15 bulan manakala sembilan tertuduh wanita masing-masing didenda RM4,500 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan menganggotai satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar menjatuhi hukuman itu selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang didakwa ke atas mereka dalam prosiding di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang.
Selain Nasiruddin, 66, tertuduh lain ialah Hasnan Abd Hamid, 54, Mohammad Adib At-Tarmizi Asa’ari, 33, Mohd. Shukri Mohd. Noor, 54, Mokhtar Tajuddin, 61, Shuhaimi Mohamed, 57, Muhammad Afdaluddin Latif, 35, Mohamad Sayuti Omar, 36, Mohd. Fazil Md Jasin, 58, Mohd. Dhirar Fakhrur Razi, 35, Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 52, Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 35, dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.
Manakala sembilan lagi tertuduh wanita ialah CEO GISBH, Azura Md Yusof, 58, Asmat@Asmanira Muhammad Ramly ,45, Mahani Kasim, 55, Siti Hajar Ismail, 52, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28, Nurul Jannah Idris, 29, Nur Jannah Omar, 33, Siti Salmiah Ismail, 58 dan Hamimah Yakub, 73,.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi kesemua tertuduh lelaki bermula dari tarikh tangkap pada 25 September tahun lalu.
Bagi tertuduh wanita sekiranya mereka gagal membayar jumlah denda itu, mereka boleh dipenjara selama tujuh bulan dan tertuduh-tertuduh membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh telah didapati menjadi anggota Kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang merupakan satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bandar Country Homes, Rawang antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024 mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak lebih tiga tahun atau denda yang tidak melebihi RM 5,000 atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
1



![[VIDEO] ‘Tuala wanita punya pasal..tahi di sana, tahi di sini’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-07-at-5.19.13-PM.jpeg)
![[VIDEO] ‘Dengan kami pun terikut baca doa’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-07-at-5.00.29-PM.jpeg)












































