Emma Firyana mahu balas dendam di final

1 hour ago 1

PEMAIN berpengalaman boling padang negara, Emma Firyana Saroji berazam menebus kekalahan peringkat kumpulan apabila sekali lagi berdepan wakil England, Katherine Rednall dalam final perseorangan wanita Piala Dunia 2025 di Stadium Juara, Bukit Kiara esok.

Selepas dikecewakan Rednall pada saingan awal, Emma kini hanya selangkah lagi untuk menggenggam emas pertama buat Malaysia di laman sendiri, sekali gus menebus maruah di pentas terbesar boling padang dunia itu.

“Untuk cabaran berdepan England nanti agak sukar kerana dalam kumpulan dah jumpa dengan dia dan saya kalah, tapi insya-Allah mana tahu saya balas dendam pula di final,” kata Emma.

Di sebalik nada tenangnya, pemain berusia 39 tahun itu mengakui perjalanan ke pentas akhir bukan mudah apabila terpaksa mengharungi detik mencemaskan di separuh akhir menentang wakil Australia, Dawn Hayman sebelum menang 2-1 kelmarin.

“Ketika balingan terakhir di set penentuan memang situasi hidup mati. Kalau tersilap sedikit, saya kalah. Saya cuba bertenang, gunakan pengalaman yang ada dan Alhamdulillah semuanya menjadi,” katanya.

Menjelang perlawanan akhir, Emma berkata fokus utamanya adalah mengekalkan ketenangan dan konsistensi memandangkan lawan dari England itu memiliki corak permainan yang stabil dan tenang sepanjang kejohanan.

“Lawan di final nanti sangat konsisten, jadi saya kena lebih konsisten daripada dia. Itu kunci utama kalau nak menang,” jelasnya.

Emma turut berkongsi cara meredakan tekanan menjelang aksi penting dengan berbincang bersama ahli keluarga dan jurulatihnya, Zuraidi Puteh bagi memperbaiki sebarang kelemahan.

“Selalunya nak redakan tekanan saya akan borak dengan ibu, kakak dan jurulatih saya untuk bincang apa yang kurang dan perlu diperbetulkan. Macam tadi bila ada kesilapan, saya cuba pastikan bukan sekadar kurangkan tapi langsung tiada kesilapan,” katanya.

Seorang lagi wakil negara, Nurul Alyani Jamil terpaksa akur apabila tewas 0-2 kepada Rednall di separuh akhir, namun tetap membawa pulang gangsa walaupun gagal ke pentas final. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |