Discovery Princess suntik ekonomi RM1.6 juta ke P. Pinang

2 hours ago 2

GEORGE TOWN – Persinggahan sulung kapal persiaran mewah, Discovery Princess ke Terminal Kapal Persiaran Swettenham (SPCT) baru-baru ini membawa suntikan ekonomi segera dianggarkan bernilai RM1.6 juta kepada Pulau Pinang.

Kapal dikendalikan Princess Cruises itu membawa 3,837 penumpang dan anak kapal, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelayaran antarabangsa.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin, ketibaan kapal tersebut membuktikan keyakinan berterusan syarikat pelayaran antarabangsa terhadap daya tarikan Pulau Pinang yang kaya dengan budaya, sejarah dan warisan dunia.

“Menggunakan anggaran konservatif sebanyak AS$100 (RM418) perbelanjaan langsung setiap pelawat, persinggahan ini sahaja menghasilkan kira-kira AS$383,700 atau sekitar RM1.6 juta yang terus mengalir kepada ekonomi tempatan.

“Ia memberi manfaat kepada pelbagai sektor termasuk pengangkutan, perhotelan, makanan dan minuman, runcit serta pengusaha pelancongan tempatan,” katanya di sini, hari ini.

Discovery Princess antara kapal terbesar dalam armada Princess Cruises dan ketibaannya dijangka membuka laluan kepada lebih banyak persinggahan berkala di Pulau Pinang pada masa hadapan.

Soon Hin berkata, Penang Port komited memposisikan negeri itu sebagai destinasi pelayaran mesra, berdaya saing dan lestari dengan memperkukuh kerjasama bersama agensi pelancongan, syarikat pelayaran dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

“Kami sedang melaksanakan pelbagai penambahbaikan termasuk mempertingkat kemudahan terminal, memperkemas proses ketibaan penumpang serta memperkayakan pengalaman di darat,” ujarnya.

Beliau turut berterima kasih kepada semua rakan strategik dan rakyat Pulau Pinang atas sambutan mesra yang menjayakan kunjungan sulung kapal berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |