Malaysia dijangka alami fenomena La Nina

2 hours ago 2

PETALING JAYA – Malaysia dijangka berdepan fenomena La Nina singkat pada awal musim sejuk tahun 2025 hingga awal tahun 2026 yang berpotensi menjejaskan corak taburan hujan negara.

Pusat Iklim Nasional, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaklumkan, bagaimanapun keadaan diramal kembali stabil ke paras neutral tidak lama selepas itu.

Menerusi tinjauan cuaca jangka panjang bagi September ini hingga Februari 2026 menunjukkan, majoriti model iklim antarabangsa meramalkan keadaan El-Nino Southern Oscillation (ENSO) ketika ini berada pada tahap neutral dengan kebarangkalian 56 peratus berterusan sehingga Oktober depan.

“Berdasarkan konsensus beberapa model tinjauan iklim, fenomena global yang mempengaruhi cuaca semasa negara seperti ENSO, Madden Julian Oscillation (MJO) dan Indian Ocean Dipole (IOD) turut diambil kira.

“Majoriti model iklim antarabangsa menunjukkan ENSO terkini adalah neutral dengan Indeks Nino Lautan (ONI) bagi bulan Mei, Jun dan Julai 2025 direkodkan -0.1 darjah Celsius,” menurut kenyataan tersebut hari ini.

MetMalaysia menjelaskan, selepas tempoh tersebut, terdapat kemungkinan La Nina berlaku dalam tempoh singkat pada awal tahun depan sebelum pola cuaca kembali normal.

Fenomena itu dijangka memberi kesan kepada corak taburan hujan di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Pada masa ini, negara masih berada dalam fasa akhir Monsun Barat Daya yang dijangka berlarutan sehingga September ini.

Tambah MetMalaysia, keadaan tiupan angin barat daya menyebabkan kelembapan udara rendah sekali gus mengurangkan pembentukan awan hujan di kebanyakan negeri,” menurut MetMalaysia.

“Sehubungan itu, lebih banyak hari tanpa hujan berbanding hari hujan dijangka berlaku selain risiko jerebu setempat dan rentas sempadan jika aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.

“Walaupun cuaca kering, risiko angin kencang serta ribut petir tetap ada, terutama di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah,” kata kenyataan berkenaan.

Dalam masa sama, ribut petir lazimnya berlaku pada awal pagi akibat fenomena garis badai iaitu barisan ribut petir yang terbentuk hasil penumpuan angin dan boleh berlarutan beberapa jam.

“Berdasarkan analisis model ramalan cuaca, angin baratan kencang dijangka bertiup di rantau negara bermula 22 hingga 25 September ini yang berpotensi menyebabkan pembentukan fenomena garis badai.

“Keadaan ini boleh membawa hujan lebat dan angin kencang terutama di utara Sarawak, barat Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan dalam tempoh tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |