Cikgu Fadilah lapor polis, kes video ‘aib’ tersebar

1 day ago 7

ALOR GAJAH – Pihak polis membuka kertas siasatan berhubung penularan klip video seks berkaitan kes skandal tular Cikgu Fadilah dan ‘Abang CCTV & Wiring’.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, tindakan itu dibuat selepas guru wanita terbabit tampil membuat laporan polis.

“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengaibkan kehormatan seseorang dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM).

“Cikgu Fadilah membuat laporan susulan tidak berpuas hati apabila mendapati video seks dirinya tersebar,” katanya ringkas kepada pemberita.

Tambahnya, setakat ini siasatan awal dilakukan ke atas telefon bimbit individu digelar ‘Abang CCTV & Wiring’ tidak menjumpai kesalahan pornografi.

Ujarnya, kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

Baru-baru ini tular di media sosial berkaitan skandal seks seorang guru wanita dengan lelaki berstatus suami orang digelar ‘Abang CCTV & Wiring’.

Kontroversi itu tercetus apabila beberapa tangkap layar aplikasi WhatsApp memaparkan perbualan berunsur lucah didakwa membabitkan pasangan itu ditularkan oleh isteri kepada lelaki berkenaan.

Rentetan kejadian itu, Kosmo! semalam turut melaporkan Cikgu Fadilah dan ‘Abang CCTV & Wiring’ didenda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka selepas mengaku salah cuba melakukan zina, pada 28 Februari lalu.

Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad Zin menetapkan hukuman itu terhadap Nur Fadilah Zainal, 31, dan Muhammad Hairul Ezuan Hamzah, 31, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati telah melakukan percubaan persetubuhan haram dengan yang bukan isteri atau suaminya yang sah di sisi syarak dan didakwa mengikut Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |