MMC Friendship Half Marathon 2025 catat sejarah separa maraton terbesar

1 day ago 8

PETALING JAYA – Acara sulung MMC Friendship Half Marathon 2025 hari ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila menghimpunkan lebih 6,000 pelari dari seluruh Malaysia, Singapura dan komuniti tempatan Johor dalam satu larian persahabatan di Forest City, Johor.

Acara larian yang julung kali dianjurkan oleh Kumpulan MMC ini menawarkan tiga kategori iaitu 21.1 kilometer (km), 10 km dan 5 km, sekali gus memberi peluang penyertaan kepada semua golongan daripada atlet kompetitif hinggalah mereka yang hanya ingin beriadah bersama keluarga serta rakan-rakan.

MMC dalam kenyataan memaklumkan, majlis pelepasan peserta disempurnakan oleh beberapa tetamu kehormat termasuk Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Raven Kumar Krishnasamy.

Menurut Mohd Hairi, MMC Friendship Half Marathon bukan sekadar acara sukan, malah ia merupakan platform yang menyatukan masyarakat, menggalakkan gaya hidup sihat dan menyerlahkan Johor sebagai destinasi pelancongan sukan utama.

Dengan tema kesihatan, kecergasan, kelestarian alam sekitar dan semangat komuniti, acara ini membawa aura positif kepada semua lapisan masyarakat dengan pemandangan alam semula jadi Forest City sepanjang laluan larian.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh turut menyatakan rasa bangga dan penghargaan atas sambutan luar biasa yang diterima.

“Kami amat menghargai sokongan serta penyertaan yang menggalakkan dari semua pihak yang terlibat. Kami akan terus komited dalam semangat kebersamaan, kesejahteraan dan kerjasama serantau menerusi penganjuran acara seperti ini,” katanya.

Selain acara utama larian, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan seperti permainan dart belon, taman permainan kanak-kanak, pemeriksaan kesihatan percuma serta gerai makanan dan minuman. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |