Segerakan pembinaan 2 blok, sudah lapan tahun menunggu – Johari

6 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan pemaju projek Kampung Sungai Baru di sini perlu segera menyiapkan dua blok perumahan seperti dijanjikan sejak lapan tahun lalu bagi membolehkan penduduk yang telah berpindah sementara kembali ke penempatan asal mereka.

Katanya, langkah itu penting untuk memulihkan keyakinan penduduk bahawa pemaju mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh bagi menyiapkan unit baharu seperti dijanjikan kepada penduduk yang telah berpindah begitu lama.

“Lebih 300 penduduk sudah berpindah, hanya tinggal 14 keluarga di rumah teres yang belum keluar.

“Pemaju kena siapkan dahulu dua blok baharu dengan menggunakan kawasan blok flat lama yang telah diroboh dan diratakan” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas Majlis Pelancaran MSPO Impact Alliance, di sini hari ini.

Menurut Johari, kegagalan memulakan pembinaan semula selepas tempoh menunggu yang terlalu lama menimbulkan keresahan penduduk dan sekiranya pemaju tidak berkemampuan boleh mengadakan perjumpaan bersama pihak UDA untuk berbincang.

“Ini sudah lapan tahun. Tanyalah pemaju, bila mahu mulakan?,” tegasnya ketika diminta mengulas mengenai tempoh pembinaan itu perlu disiapakan.

Tambahnya, ketika menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, beliau menasihatkan mereka supaya tidak menandatangani sebarang persetujuan dengan pemaju kerana tidak ada kekuatan kewangan dan pengalaman.

“Namun selepas saya kalah pada PRU14, pemaju mula bertindak dan 67 peratus penduduk menandatangani persetujuan, walaupun 33 peratus lagi menolak. Inilah punca masalah yang timbul,” katanya.

Ujar Johari, Akta Pengambilan Tanah 1960 telah digunakan secara tidak wajar bagi membolehkan pemaju menggabungkan rumah flat dan rumah teres untuk pembangunan semula walaupun ada penduduk menolak.

Dalam pada itu, Johari berkata, sebarang pembangunan Kampung Sungai Baru perlu mengambil kira kepentingan orang Melayu dengan memastikan hak mereka terjaga.

Sebelum ini, baki 14 penduduk Kampung Sungai Baru enggan mengosongkan kediaman mereka kerana tidak berpuas hati dengan nilai pampasan dan bentuk penempatan semula serta proses pengambilan tanah yang dikatakan tidak telus.

Pada 2021 lalu, kerajaan ketika itu menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk merampas tanah tersebut sebelum menyerahkannya kepada pemaju.

Arahan pengosongan minggu lalu itu merupakan percubaan kedua pihak pemaju sejak Julai 2025 untuk mengeluarkan 14 penduduk di kawasan berkenaan yang terletak bersebelahan Kampung Baru di sini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |