BANDAR RAYA NEW YORK – Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menggunakan kuasa veto semalam untuk membatalkan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa gencatan senjata segera dan berkekalan di Semenanjung Gaza, lapor laman berita Arab News.
Washington turut menggunakan kuasa veto untuk membatalkan pemansuhan semua sekatan terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan ke wilayah Palestin itu.
Draf resolusi tersebut yang dibentangkan oleh 10 ahli tidak tetap daripada 15 anggota Majlis Keselamatan, menerima 14 undi menyokong.
Ia merupakan kali keenam AS menggunakan kuasa veto dimilikinya sebagai salah satu daripada lima anggota tetap Majlis Keselamatan sejak perang antara Israel dan Hamas tercetus hampir dua tahun lalu.
Veto oleh wakil AS, Morgan Ortagus itu menggagalkan resolusi tersebut walaupun mendapat sokongan hampir sebulat suara.
Washington secara konsisten memberi alasan bahawa resolusi gencatan senjata PBB berisiko menjejaskan rundingan damai, menghalang kemampuan Israel mengambil tindakan terhadap Hamas dan mencabuli hak Tel Aviv untuk mempertahankan diri.
Pengkritik-pengkritik pula menuduh Washington melindungi Israel daripada memikul tanggungjawab antarabangsa dalam perang Gaza.
“Resolusi ini gagal mengecam Hamas atau mengiktiraf hak Israel untuk mempertahankan diri dan ia secara salah mewajarkan naratif palsu yang menguntungkan Hamas (dan) malangnya mendapat tempat dalam majlis ini,” kata Ortagus yang merupakan penasihat kanan dasar AS sebelum pengundian diadakan.
Algeria yang merupakan antara penyokong utama resolusi, melahirkan rasa kecewa susulan kegagalan Majlis Keselamatan bertindak terhadap situasi di Gaza.
Ia turut memohon maaf kepada rakyat Palestin kerana tidak berdaya berbuat lebih banyak untuk menyelamatkan nyawa orang awam.
Duta Algeria ke PBB, Amar Bendjama berkata, walaupun resolusi gagal diluluskan, sebanyak 14 anggota Majlis Keselamatan yang berani telah menyuarakan pendirian mereka demi kepentingan masyarakat antarabangsa. – AGENSI