PETALING JAYA – Anak syarikat Kumpulan MMC, Johor Port Berhad (Johor Port) terus memperkukuh kedudukannya sebagai pelabuhan pelbagai guna utama di rantau ini dengan ketibaan dua kren dermaga kontena Post Panamax baharu bernilai RM71.2 juta.
Dua kren yang dibina oleh Shanghai Zhenhua Heavy Industries Co. Ltd (ZPMC) itu direka untuk mengendalikan kapal Post Panamax dengan kelajuan dan ketepatan lebih tinggi, sekali gus meningkatkan kecekapan serta masa pusing ganti kapal di Terminal Kontena Johor Port.
Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md Derick Basir berkata, pelaburan strategik itu selaras dengan visi jangka panjang syarikat untuk menyediakan infrastruktur moden bagi menyokong perdagangan global.
“Selain dua kren ini, kami juga akan memperoleh dua lagi kren dermaga menjelang 2027. Pada Jun lalu, kami turut membeli empat kren level luffing baharu bernilai RM72.3 juta untuk Terminal Konvensional,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Johor Port, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh menjelaskan, pelaburan berterusan itu adalah sebahagian daripada Pelan Peningkatan CAPEX Lima Tahun.
“Penambahan kren moden ini bukan sahaja memodenkan operasi pelabuhan, malah menyokong inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dengan meningkatkan kapasiti operasi, kecekapan kargo dan kebolehpercayaan perkhidmatan,” katanya.
Beliau menambah, langkah itu dijangka merangsang pelaburan baharu, membuka peluang pekerjaan serta memperkukuh peranan Johor Port sebagai Gerbang Selatan Malaysia.
Naib Presiden Persatuan Pengusaha Lori Kontena Malaysia, Dzulfariq turut memuji usaha Johor Port dalam meningkatkan produktiviti pelabuhan.
“Kren baharu ini akan mempercepatkan pusing ganti kapal dan lori, sekali gus memberi pengalaman pengendalian kargo yang lebih lancar dan cekap,” katanya.
Perolehan kren bermula pada Mei 2024 dan telah dihantar pada 6 September lalu, kini menjalani ujian penerimaan tapak selama 45 hari sebelum ditugaskan sepenuhnya.
Johor Port turut mencatat sejarah apabila berjaya mengendalikan 103,159 TEUs pada Ogos 2025 menjadikan rekod bulanan tertinggi meskipun kerja pemindahan kren lama dijalankan.
Dalam kenyataan sama, Penasihat Persatuan Perkapalan dan Pengangkutan Johor Port, Stephanie Lim berkata, pencapaian jumlah muatan yang luar biasa oleh Johor Port pada bulan Ogos adalah mengagumkan memandangkan kerja-kerja pemindahan kren sedang dijalankan pada masa itu.
“Johor Port telah menguruskan operasi mereka dengan cekap semasa tempoh sibuk ini dan kami percaya bahawa ketibaan kren dermaga baru ini akan memperkukuh lagi keupayaan pengendalian kontena pelabuhan dan meningkatkan masa pusing ganti kapal,” katanya. – KOSMO! ONLINE