Jumpa parang lepas kejar kereta dinaiki tiga lelaki

3 hours ago 5

KLANG – Tindakan nekad tiga lelaki melarikan diri dengan memecut laju kereta gagal selepas berjaya dikejar dan ditangkap dalam kejadian di Lorong Dato Yusuf Shahbudin, Bandar Sentosa, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.15 malam itu, ketiga-tiga suspek tempatan berusia 31 hingga 43 tahun ditahan bersama sebilah parang yang ditemui dalam kereta dinaiki mereka.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, sepasukan anggota polis yang menjalankan rondaan di kawasan bulatan Jalan Kebun telah mengesan sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna hitam dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota polis kemudiannya memberikan untuk memberhentikan kenderaan namun pemandunya terus memecut laju.

“Setalah dikejar dengan bantuan lima kereta peronda akhirnya berjaya menahan kenderaan dinaiki tiga suspek di Lorong Dato Yusuf Shahbudin, Bandar Sentosa.

“Hasil pemeriksaan dalam kereta suspek menemui sebilah parang dan sarung tangan yang seterusnya dirampas bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jarak antara dua lokasi suspek dikesan dan ditahan dianggarkan lebih tiga kilometer.

Jelas Ramli, hasil semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod lampau dengan pemandu kereta itu mempunyai 23 kesalahan jenayah dan 11 berkaitan dadah.

“Ketiga-tiga suspek kini direman selama empat hingga 22 September depan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau menambah, polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Daerah ini ditalian 03-33762222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa video di media sosial memaparkan insiden kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |